Novel Kanak-Kanak: Orah
Bab 3
“Kau dah balik Orah?” soal nenek Jarah
sambil meninjau di pintu bilik saya dan Assila yang cukup-cukup untuk kami dua
orang. Bantal pun sudah berbau busuk. Itu sahaja bantal yang boleh nenek Jarah
berikan untuk kami. Bantal lain yang baik-baik dikhaskan buat anak-anaknya yang
kelak balik bercuti di rumah besarnya ini. Saya tidak iri hati.
“Sudah
nek, baru saja saya sampai,” kata saya perlahan. Buku di tangan saya lepaskan. Saya
menumpukan perhatian kepada nenek Jarah. Kalau tidak, nenek Jarah pasti akan
memarahi saya lagi.
“Kau
tak mahu makan Orah? Tu nasi di periuk sudah menunggu! Dah badan kau tu kecut,
makanan pula susah nak masuk ke perut! Apalah nak jadi dengan kau ni Orah!” nenek Jarah mula membebel sambil menjuihkan
mulutnya ke dapur. Mata saya terkebil-kebil melihat nenek Jarah yang suka
memaksa. Agak-agaknya lah kalau saya sudah dapat menggali apa yang saya nak
cari sekarang, pasti saya akan hidup aman di sana. Tidak orang yang
memaksa-maksa saya di sana. Kata hati saya sendiri.
“Nanti
lah nek! Saya ada kerja sikit ni,” kata saya lagi. Saya menjadi lemah kalau
nenek Jarah sudah menyebut makan. Saya tidak suka makan kalau saya ada kerja. Kalau
saya terus makan ke dapur pula nenek Jarah akan menyangka saya ni kelaparan dan
kuat makan. Eh, saya pun menjadi serba salah.
“Jadi
tak kita pergi hospital ni? Asma kau datang lagi di sekolah tadi Orah?” soal
nenek Jarah memperlahankan suaranya. Saya menggeleng.
“Tak
payahlah nek. Kasihan pula nenek nak kena temankan Orah ke hospital. Orah makan
aje ubat yang perlu!” kata saya sudah memberi alasan. Buku Penerokaan Ke
Angkasa itu harus saya habiskan. Jiwa saya seakan-akan tertekan dan tidak
tenteram kalau saya tidak menghabiskan membaca buku itu. Saya tidak akan dapat
tidur lena kalau sesebuah buku yang menarik tidak dapat saya habiskan. Kecuali
kalau badan saya penat kerana aktiviti di sekolah.
‘His, nenek Jarah ni
memang suka menggganggu!’ kata saya dalam hati.
“Kalau
macam tu nenek nak pergi ke kebun getah ni. Nak tengok kebun tu. Pekerja tu
sudah tebas semak-semak tu atau belum! Susah betul pekerja tu, malas-malas
semuanya!” bebel nenek Jarah. Saya
segera menganguk. Kalau nenek Jarah cepat-cepat pergi ke kebun getahnya,
maknanya hanya ada saya dan Assila sahaja di rumah. Oh, amannya dunia ini!
Bisik saya lagi. Dalam hati saya sudah melompat-lompat kegembiraan!
“Baiklah
nek. Nanti Orah akan tutup pintu dan tingkap siap-siap! Saya takkan benarkan
orang luar masuk ke rumah nenek ni!” kata saya bergegas menuju ke tingkap dan
menutup tingkap-tingkap di kawasan luar.
“His,
kau buat apa tu Orah? Nenek belum nak jalan lagi lah! Nenek tunggu pak cik kau
datang! Barulah nenek jalan pegi kebun tu!” saya berhenti menutup tingkap itu.
Wajah nenek Jarah saya tatap. Nenek Jarah mengetap bibir nipisnya. Saya
terhenti melakukan kerja saya. Uh, saya sudah silap sebenarnya! Malunya!
“Oh
ingatkan nenek nak jalan sekarang, maafkan saya nek.” kata saya perlahan. Saya berpaling
dan terus menuju ke bilik sempit saya semula.
Buku cereka sains
yang lepaskan tadi, saya ambil semula. Saya labuhkan punggung saya di atas
tikar mengkuang lusuh milik nenek Jarah. Pandangan tajam menikam nenek Jarah kembali
menyorot ke arah saya. Saya geram dengan sikapnya yang tidak mahu berlalu dari
bilik saya sebenarnya. Kalau saya hendak cakap geram pun boleh tetapi saya
tidak sampai hati. Biarlah hati saya sahaja yang tahu.
“Jangan lupa makan
kalau nenek sudah pergi nanti ya,” pesan nenek Jarah semula. Dalam diam saya
hanya mengangguk.
“Ya lah nek. Saya
tak akan lupa.” Kata saya pula mula
berjanji. Entah saya hendak makan atau tidak, saya pun belum membuat keputusan
lagi. Ini disebabkan Mak Biah memberikan saya sebungkus nasi goring sewaktu
saya hendak balik tadi. Nasi goren itu sudah saya balun sampai habis. Hmm,
perut saya pun sudah kenyang sampai petang. Bagaimana saya hendak
berterus-terang dengan nenek Jarah?
“Kalau kau tak
makan, pasti nenek akan tahu juga,” kata nenek Jarah semula. Saya mula
menggigil dengan ugutan nenek Jarah itu. tetapi, saya memang kenyang dan buku
sains fiksyen yang baru saya pinjam itu memang menggoda-goda hati dan akal
saya. Bagaimana saya hendak berterus-terang kalau keadaan saya begini?
“Ya nek, saya akan
makan nanti,” Lain yang rancang hendak cakap lain pula yang saya keluarkan dari
mulut saya ini. Aduh, Orah macam mana ni? Saya
sudah tidak sabar lagi hendak menghabiskan bacaan. Tidak lama kemudian,
nenek Jarah sudah bergerak ke ruang tamu. Dia menghidupkan televisyen. Saya
terus bergerak menuju ke bilik kecil saya. Tingkap kayu milik bilik saya pun
saya buka perlahan-lahan. Berkeriut bunyinya.
Saya terus membaca
dan membaca. Saya sudah berbaring di atas tilam yang kecil itu namun tilam itu
cukup untuk dirinya. Saya sudah puas hati. Adik Assila tidak kelihatan sejak
saya pulang dari sekolah. Entah di manakah adik saya itu. Saya kurang pasti. Apa yang saya tahu buku
penerokaan ke angkasa harus dihabiskan. Esok saya akan memulangkan buku ini dan
meminjam buku yang baru. Itulah kebiasaan yang saya gemari saban waktu. Saya
sanggup berlama-lama duduk di perpustakaan daripada duduk di dalam rumah yang
tidak ada buku. Uh, memang tragis sekali kalau menjadi Orah. Orah yang ulat
buku! Orah yang ulat buku!
“Orah! Orah! Mari
sini!” Pup buku di tangan saya jatuh tanpa saya sedar. Kelihatan seekor wajah
kuda laut putih yang sederhana besarnya di luar tingkap bilik saya. Uh, kenapa
kuda putih bersih berada di depan tingkap saya? Bolehkah kuda laut putih itu
terbang? Setahu saya kuda laut itu kecil sahaja. Saya teringat suatu hari dulu
nenek Jarah pernah menunjukkan gambar kuda laut putih yang sudah mati. Soal
saya yang sudah berasa cemas di dalam kesendirian.
“Orah marilah ikut
saya!” kata satu suara lagi. Wajah putih bersih kuda itu saya pandang lagi. Mahu
ikut ke mana? Soal saya cukup sangsi.
“Kau yang bercakap
kuda laut?” soal saya ragu-ragu. Kuda laut? Kuda laut yang kecil di dalam laut
itu. tetapi kuda laut yang berada di depan saya ini cukup besar mengalahkan
kuda kepang. Kuda laut mempunyai sayap pula. Kuda laut apa ni? Soal saya dalam
hati.
Ya Allah, kuda laut
datang semata-mata untuk bertemu dengan saya? Orah? Benarkah atau tidak? Saya menggosok-gosok
mata seketika. Saya cubit lengan saya yang kurus. Sakit. Saya pandang lagi
sekali. Kuda laut berwarna putih itu masih di situ. Kuda laut itu pun masih
memandang saya. Kami saling berpandangan rupanya. Uh, ini memang sesuatu yang
menakjubkan! Kalau saya ceritakan kepada rakan sekelas saya, esok pagi pasti
mereka akan mengatakan yang saya ni sudah gila. Izzah Munira sudah gila! Jangan
mereka kata saya gilakan Cikgu Don sudahlah!
Namun, saya sedar
peluang kedua tidak selalu datang dalam hidup seseorang. Inilah peluang yang
pertama dan terakhir. Kalau saya tidak sambar peluang ini, saya tidak akan
bertemu lagi dengan peluang ini! Kata saya masih memandang kuda laut itu dengan
penuh semangat.
“Sayalah kuda laut ni.
Saya ni memang dari laut. Tak pernah Nampak kuda laut macam saya ni? Kau takut
Orah?” soalnya pula. Hee, pandai pula dia bercakap dengan bahasa saya. Kuda
laut putih di hadapan saya sekarang ini memang kuda yang menakjubkan. Sungguh
menakjubkan!
Memanglah saya takut
dan terkejut apabila mendengar binatang bersuara macam manusia. Tidak pernah
berlaku kepada orang lain. Namun, saya harus cepat bertindak. Kalau tidak
peluang ini akan selamanya berakhir. Dan, akhirnya Orah juga yang akan gigit
jari!
“Kau mahu bawa saya
ke mana kuda laut putih?” soal saya begitu terburu-buru. Wal hal saya belum
mengenali kuda laut itu dengan lebih dalam. Entah kenapa saya menjadi sangat
berminat hendak menunggang kuda laut itu. Tidak ada lagi ketakutan di dalam hati saya
apabila saya melihat kejujuran di mata kuda putih itu. Biar apa pun terjadi
kuda laut di hadapan saya itu tetap akan menjadi tunggangan saya! Kata saya
penuh perhatian. Saya berasa seluruh muka menjadi berseri-seri apabila dapat
bercakap-cakap dengan kuda laut itu. Baru sahaja nenek Jarah mengugut saya.
Muka saya jadi pucat dan hati sungguh runsing.
Kenapa runsing? Ini
kerana, nenek Jarah memaksa saya makan makanan yang sudah disediakan. Saya
sudah kenyang kerana makan di kantin pagi tadi. Itu pagi? Petang ni? Huh, saya
tidak mahu ingat fasal makan, walaupun saya suka menikmati makanan.
“Saya mahu bawa kau
ke mana-mana sahaja yang kau suka Orah,. Saya pun sudah lama minat dengan kau
Orah,” katanya sambil mengenyitkan matanya. Aduh, jantung saya usah ditanya
bagaimana debarnya. Bagaikan gendang dipalu sekuatnya.
Ah, doa saya
bagaikan sudah dimakbulkan Tuhan. Oh, cepatnya doa saya dimakbulkan Tuhan! Baru
sahaja beberapa hari ini saya berdoa. Bisik saya dalam hati.
“Kita terbang ke
lautan lepas? Bolehkah bawa Orah dengan sayap kau tu?” soal saya. Kuda laut putih
dengan mata kuyu itu mengangguk. Saya terbayang rupa kapal titanic yang sudah
tenggelam berpuluh tahun lamanya. Saya terbayang mangkuk terbang, saya terbayangkan
rumpai laut dan gunung laut. Ah, banyak sungguh yang terbayang di benak saya
seketika itu.
“Boleh, saya boleh
bawa ke mana sahaja yang kau suka Orah, usah lah kau bimbang,” kata kuda laut
putih itu lagi. Petah sungguh kata-katanya mengalahkan burung murai. Saya tidak
terkejut lagi. Lama-lama saya boleh menyeimbangkan degupan jantung saya.
Saya melonjak
kegirangan. Buku yang baca entah terbang ke mana saya pun tidak tahu. Saya
menukar baju yang paling cantik yang saya ada. Biar kuda itu tahu saya
benar-benar bersungguh-sungguh hendak terbang ke lautan lepas. Ah, ini semua
gara-gara nenek Jarah yang garang dan Cikgu Don yang sungguh pandai menerangkan
mengenai Sains Angkasa dan keadaan di lautan lepas beberapa bulan lalu. Cikgu
Don memang hebat. Dalam diam saya memang mengagumi kegigihan Cikgu Don mengajar
saya sehingga begitu berminat dengan sains. Apa sahaja tajuk yang dia terangkan
saya memang akan dapat memahaminya. Tidak hairan kalau saya paling pandai dalam
mata pelajaran sains di kelas saya!
‘Terima kasih Cikgu
Don!’ bisik saya seketika sambil memejamkan mata dan membayangkan wajah Cikgu
Don yang ceria.
Saya melihat kuda
laut mengerdipkan mata ke arahn saya. Saya tersenyum penuh senang hati. Tidak
pernah saya seriang ini. Apatah lagi, wajah ibu saya sudah lama tidak saya
temui. Tubuh ibu sudah lama tidak dapat saya peluk. Ini kerana ibu terlalu
sibuk bekerja. Ibu bekerja siang dan malam. Ibu bekerja dua belas jam sehari.
Oh, sungguh kasihan ibu!
Tetapi, kedatangan
kuda laut mengubah diri saya. Saya menjadi ceria dan cukup berstamina
menghadapi hari-hari saya. Pedulikanlah nenek Jarah. Apa yang penting sepetang
ini saya hendak menjelajahi dua pertiga
kawasan bumi yang belum saya jelajahi lagi iaitu lautan lepas. Biarlah nenek
Jarah dan Assila pergi ke kebun getah dan saya bergerak ke dunia lautan yang
indah itu. wajah lautan lepas terbayang di mata saya. Hati saya sungguh girang
sekali. Kegirangan itu usah ditanya bagaimana. Namun, kulit saya yang hitam
manis menjadi berseri-seri dan senyuman melekat ke mana sahaja saya memandang.
Itulah Orah yang punya impian luar biasa!