Monday, November 25, 2013

Novel Kanak-Kanak: Orah 3

Novel Kanak-Kanak: Orah
Bab 3

“Kau dah balik Orah?” soal nenek Jarah sambil meninjau di pintu bilik saya dan Assila yang cukup-cukup untuk kami dua orang. Bantal pun sudah berbau busuk. Itu sahaja bantal yang boleh nenek Jarah berikan untuk kami. Bantal lain yang baik-baik dikhaskan buat anak-anaknya yang kelak balik bercuti di rumah besarnya ini. Saya tidak iri hati.
         “Sudah nek, baru saja saya sampai,” kata saya perlahan. Buku di tangan saya lepaskan. Saya menumpukan perhatian kepada nenek Jarah. Kalau tidak, nenek Jarah pasti akan memarahi saya lagi.
         “Kau tak mahu makan Orah? Tu nasi di periuk sudah menunggu! Dah badan kau tu kecut, makanan pula susah nak masuk ke perut! Apalah nak jadi dengan kau ni Orah!”  nenek Jarah mula membebel sambil menjuihkan mulutnya ke dapur. Mata saya terkebil-kebil melihat nenek Jarah yang suka memaksa. Agak-agaknya lah kalau saya sudah dapat menggali apa yang saya nak cari sekarang, pasti saya akan hidup aman di sana. Tidak orang yang memaksa-maksa saya di sana. Kata hati saya sendiri.
         “Nanti lah nek! Saya ada kerja sikit ni,” kata saya lagi. Saya menjadi lemah kalau nenek Jarah sudah menyebut makan. Saya tidak suka makan kalau saya ada kerja. Kalau saya terus makan ke dapur pula nenek Jarah akan menyangka saya ni kelaparan dan kuat makan. Eh, saya pun menjadi serba salah.
         “Jadi tak kita pergi hospital ni? Asma kau datang lagi di sekolah tadi Orah?” soal nenek Jarah memperlahankan suaranya. Saya menggeleng.
         “Tak payahlah nek. Kasihan pula nenek nak kena temankan Orah ke hospital. Orah makan aje ubat yang perlu!” kata saya sudah memberi alasan. Buku Penerokaan Ke Angkasa itu harus saya habiskan. Jiwa saya seakan-akan tertekan dan tidak tenteram kalau saya tidak menghabiskan membaca buku itu. Saya tidak akan dapat tidur lena kalau sesebuah buku yang menarik tidak dapat saya habiskan. Kecuali kalau badan saya penat kerana aktiviti di sekolah.
‘His, nenek Jarah ni memang suka menggganggu!’ kata saya dalam hati.
         “Kalau macam tu nenek nak pergi ke kebun getah ni. Nak tengok kebun tu. Pekerja tu sudah tebas semak-semak tu atau belum! Susah betul pekerja tu, malas-malas semuanya!” bebel  nenek Jarah. Saya segera menganguk. Kalau nenek Jarah cepat-cepat pergi ke kebun getahnya, maknanya hanya ada saya dan Assila sahaja di rumah. Oh, amannya dunia ini! Bisik saya lagi. Dalam hati saya sudah melompat-lompat kegembiraan!
         “Baiklah nek. Nanti Orah akan tutup pintu dan tingkap siap-siap! Saya takkan benarkan orang luar masuk ke rumah nenek ni!” kata saya bergegas menuju ke tingkap dan menutup tingkap-tingkap di kawasan luar.
         “His, kau buat apa tu Orah? Nenek belum nak jalan lagi lah! Nenek tunggu pak cik kau datang! Barulah nenek jalan pegi kebun tu!” saya berhenti menutup tingkap itu. Wajah nenek Jarah saya tatap. Nenek Jarah mengetap bibir nipisnya. Saya terhenti melakukan kerja saya. Uh, saya sudah silap sebenarnya! Malunya!
         “Oh ingatkan nenek nak jalan sekarang, maafkan saya nek.” kata saya perlahan. Saya berpaling dan terus menuju ke bilik sempit saya semula.
Buku cereka sains yang lepaskan tadi, saya ambil semula. Saya labuhkan punggung saya di atas tikar mengkuang lusuh milik nenek Jarah. Pandangan tajam menikam nenek Jarah kembali menyorot ke arah saya. Saya geram dengan sikapnya yang tidak mahu berlalu dari bilik saya sebenarnya. Kalau saya hendak cakap geram pun boleh tetapi saya tidak sampai hati. Biarlah hati saya sahaja yang tahu.
“Jangan lupa makan kalau nenek sudah pergi nanti ya,” pesan nenek Jarah semula. Dalam diam saya hanya mengangguk.
“Ya lah nek. Saya tak akan lupa.” Kata saya  pula mula berjanji. Entah saya hendak makan atau tidak, saya pun belum membuat keputusan lagi. Ini disebabkan Mak Biah memberikan saya sebungkus nasi goring sewaktu saya hendak balik tadi. Nasi goren itu sudah saya balun sampai habis. Hmm, perut saya pun sudah kenyang sampai petang. Bagaimana saya hendak berterus-terang dengan nenek Jarah?
“Kalau kau tak makan, pasti nenek akan tahu juga,” kata nenek Jarah semula. Saya mula menggigil dengan ugutan nenek Jarah itu. tetapi, saya memang kenyang dan buku sains fiksyen yang baru saya pinjam itu memang menggoda-goda hati dan akal saya. Bagaimana saya hendak berterus-terang kalau keadaan saya begini?
“Ya nek, saya akan makan nanti,” Lain yang rancang hendak cakap lain pula yang saya keluarkan dari mulut saya ini. Aduh, Orah macam mana ni? Saya  sudah tidak sabar lagi hendak menghabiskan bacaan. Tidak lama kemudian, nenek Jarah sudah bergerak ke ruang tamu. Dia menghidupkan televisyen. Saya terus bergerak menuju ke bilik kecil saya. Tingkap kayu milik bilik saya pun saya buka perlahan-lahan. Berkeriut bunyinya.
Saya terus membaca dan membaca. Saya sudah berbaring di atas tilam yang kecil itu namun tilam itu cukup untuk dirinya. Saya sudah puas hati. Adik Assila tidak kelihatan sejak saya pulang dari sekolah. Entah di manakah adik saya itu. Saya  kurang pasti. Apa yang saya tahu buku penerokaan ke angkasa harus dihabiskan. Esok saya akan memulangkan buku ini dan meminjam buku yang baru. Itulah kebiasaan yang saya gemari saban waktu. Saya sanggup berlama-lama duduk di perpustakaan daripada duduk di dalam rumah yang tidak ada buku. Uh, memang tragis sekali kalau menjadi Orah. Orah yang ulat buku! Orah yang ulat buku!
“Orah! Orah! Mari sini!” Pup buku di tangan saya jatuh tanpa saya sedar. Kelihatan seekor wajah kuda laut putih yang sederhana besarnya di luar tingkap bilik saya. Uh, kenapa kuda putih bersih berada di depan tingkap saya? Bolehkah kuda laut putih itu terbang? Setahu saya kuda laut itu kecil sahaja. Saya teringat suatu hari dulu nenek Jarah pernah menunjukkan gambar kuda laut putih yang sudah mati. Soal saya yang sudah berasa cemas di dalam kesendirian.
“Orah marilah ikut saya!” kata satu suara lagi. Wajah putih bersih kuda itu saya pandang lagi. Mahu ikut ke mana? Soal saya cukup sangsi.
“Kau yang bercakap kuda laut?” soal saya ragu-ragu. Kuda laut? Kuda laut yang kecil di dalam laut itu. tetapi kuda laut yang berada di depan saya ini cukup besar mengalahkan kuda kepang. Kuda laut mempunyai sayap pula. Kuda laut apa ni? Soal saya dalam hati.
Ya Allah, kuda laut datang semata-mata untuk bertemu dengan saya? Orah? Benarkah atau tidak? Saya menggosok-gosok mata seketika. Saya cubit lengan saya yang kurus. Sakit. Saya pandang lagi sekali. Kuda laut berwarna putih itu masih di situ. Kuda laut itu pun masih memandang saya. Kami saling berpandangan rupanya. Uh, ini memang sesuatu yang menakjubkan! Kalau saya ceritakan kepada rakan sekelas saya, esok pagi pasti mereka akan mengatakan yang saya ni sudah gila. Izzah Munira sudah gila! Jangan mereka kata saya gilakan Cikgu Don sudahlah!
Namun, saya sedar peluang kedua tidak selalu datang dalam hidup seseorang. Inilah peluang yang pertama dan terakhir. Kalau saya tidak sambar peluang ini, saya tidak akan bertemu lagi dengan peluang ini! Kata saya masih memandang kuda laut itu dengan penuh semangat.
“Sayalah kuda laut ni. Saya ni memang dari laut. Tak pernah Nampak kuda laut macam saya ni? Kau takut Orah?” soalnya pula. Hee, pandai pula dia bercakap dengan bahasa saya. Kuda laut putih di hadapan saya sekarang ini memang kuda yang menakjubkan. Sungguh menakjubkan!
Memanglah saya takut dan terkejut apabila mendengar binatang bersuara macam manusia. Tidak pernah berlaku kepada orang lain. Namun, saya harus cepat bertindak. Kalau tidak peluang ini akan selamanya berakhir. Dan, akhirnya Orah juga yang akan gigit jari!
“Kau mahu bawa saya ke mana kuda laut putih?” soal saya begitu terburu-buru. Wal hal saya belum mengenali kuda laut itu dengan lebih dalam. Entah kenapa saya menjadi sangat berminat hendak menunggang kuda laut itu.  Tidak ada lagi ketakutan di dalam hati saya apabila saya melihat kejujuran di mata kuda putih itu. Biar apa pun terjadi kuda laut di hadapan saya itu tetap akan menjadi tunggangan saya! Kata saya penuh perhatian. Saya berasa seluruh muka menjadi berseri-seri apabila dapat bercakap-cakap dengan kuda laut itu. Baru sahaja nenek Jarah mengugut saya. Muka saya jadi pucat dan hati sungguh runsing.
Kenapa runsing? Ini kerana, nenek Jarah memaksa saya makan makanan yang sudah disediakan. Saya sudah kenyang kerana makan di kantin pagi tadi. Itu pagi? Petang ni? Huh, saya tidak mahu ingat fasal makan, walaupun saya suka menikmati makanan.
“Saya mahu bawa kau ke mana-mana sahaja yang kau suka Orah,. Saya pun sudah lama minat dengan kau Orah,” katanya sambil mengenyitkan matanya. Aduh, jantung saya usah ditanya bagaimana debarnya. Bagaikan gendang dipalu sekuatnya.
Ah, doa saya bagaikan sudah dimakbulkan Tuhan. Oh, cepatnya doa saya dimakbulkan Tuhan! Baru sahaja beberapa hari ini saya berdoa. Bisik saya dalam hati.
“Kita terbang ke lautan lepas? Bolehkah bawa Orah dengan sayap kau tu?” soal saya. Kuda laut putih dengan mata kuyu itu mengangguk. Saya terbayang rupa kapal titanic yang sudah tenggelam berpuluh tahun lamanya. Saya  terbayang mangkuk terbang, saya terbayangkan rumpai laut dan gunung laut. Ah, banyak sungguh yang terbayang di benak saya seketika itu.
“Boleh, saya boleh bawa ke mana sahaja yang kau suka Orah, usah lah kau bimbang,” kata kuda laut putih itu lagi. Petah sungguh kata-katanya mengalahkan burung murai. Saya tidak terkejut lagi. Lama-lama saya boleh menyeimbangkan degupan jantung saya.
Saya melonjak kegirangan. Buku yang baca entah terbang ke mana saya pun tidak tahu. Saya menukar baju yang paling cantik yang saya ada. Biar kuda itu tahu saya benar-benar bersungguh-sungguh hendak terbang ke lautan lepas. Ah, ini semua gara-gara nenek Jarah yang garang dan Cikgu Don yang sungguh pandai menerangkan mengenai Sains Angkasa dan keadaan di lautan lepas beberapa bulan lalu. Cikgu Don memang hebat. Dalam diam saya memang mengagumi kegigihan Cikgu Don mengajar saya sehingga begitu berminat dengan sains. Apa sahaja tajuk yang dia terangkan saya memang akan dapat memahaminya. Tidak hairan kalau saya paling pandai dalam mata pelajaran sains di kelas saya!
‘Terima kasih Cikgu Don!’ bisik saya seketika sambil memejamkan mata dan membayangkan wajah Cikgu Don yang ceria.
Saya melihat kuda laut mengerdipkan mata ke arahn saya. Saya tersenyum penuh senang hati. Tidak pernah saya seriang ini. Apatah lagi, wajah ibu saya sudah lama tidak saya temui. Tubuh ibu sudah lama tidak dapat saya peluk. Ini kerana ibu terlalu sibuk bekerja. Ibu bekerja siang dan malam. Ibu bekerja dua belas jam sehari. Oh, sungguh kasihan ibu!
Tetapi, kedatangan kuda laut mengubah diri saya. Saya menjadi ceria dan cukup berstamina menghadapi hari-hari saya. Pedulikanlah nenek Jarah. Apa yang penting sepetang ini saya hendak menjelajahi dua  pertiga kawasan bumi yang belum saya jelajahi lagi iaitu lautan lepas. Biarlah nenek Jarah dan Assila pergi ke kebun getah dan saya bergerak ke dunia lautan yang indah itu. wajah lautan lepas terbayang di mata saya. Hati saya sungguh girang sekali. Kegirangan itu usah ditanya bagaimana. Namun, kulit saya yang hitam manis menjadi berseri-seri dan senyuman melekat ke mana sahaja saya memandang. Itulah Orah yang punya impian luar biasa!


Novel Remaja: Puteri Sirih Junjungan 1 dan 2

Novel Sastera Rakyat (Remaja)
Puteri Sirih Junjungan
Bab 1
Raja Malikul Megah Mencari Anak
Di dalam sebuah negeri kayangan pada zaman dahulu kala terdapat sebuah kerajaan yang diperintah oleh Raja Malikul Megah. Raja Malikul Megah mempunyai seorang isteri bernama Permaisuri Merak Cahaya. Hendak dikisahkan, Raja Malikul Megah dan isteri baginda Permaisuri Merak Cahaya sudah lama berkahwin. Tetapi malangnya baginda berdua belum dikurniakan cahaya mata. Istana Seri Kayangan kehilangan seri dan diliputi kesunyian. Permaisuri Merak Cahaya pun sudah lama menginginkan mendengar suara kanak-kanak di istana itu. Kuasa Tuhan tidak ada sesiapa yang tahu.
         Telah bermacam-macam usaha yang dilakukan. Malah berganti-ganti dukun yang keluar masuk dari kawasan Istana Seri Kayangan itu untuk memberi penawar atau ubat yang mujarab. Namun, Permaisuri Merak Cahaya tetap begitu. Tidak ada tanda-tanda baginda akan hamil pada bulan berikutnya. Usaha dukun-dukun yang dipanggil tetap sia-sia.
         Pada suatu hari, Permaisuri Merak Cahaya telah bermimpi. Mimpi baginda itu sangat aneh sekali. Beberapa hari Permaisuri Merak Cahaya mendiamkan dirinya. Baginda ingin mentafsir sendiri apakah alamat daripada mimpi tersebut. Namun, permaisuri tidak berjaya hendak mentafsirkannya. Akhirnya, baginda pun memberitahu mimpinya itu kepada Raja Malikul Megah.
Dalam mimpinya itu baginda permaisuri bertemu dengan seorang tua. Orang tua itu meminta suaminya pergi memancing di sebuah tasik tidak jauh dari istana. Hanya selang sebuah bukit sahaja. Orang tua itu juga meminta memancing sehingga dapat menaikkan seekor ikan. Ikan tersebut hendaklah dibawa balik ke istana dan hendaklah melakukan apa yang disuruh. Ikan yang ditunjukkan itu sangatlah pelik dan belum pernah ditemui di mana-mana di kayangan itu. Akhirnya permaisuri pun terbangun. Mimpinya itu benar-benar pelik.
Raja Malikul Megah pun melakukan seperti apa yang telah diberitahu permaisuri di dalam mimpinya itu. Walaupun pelik namun Raja Malikul Megah yakin yang mimpi itu mempunyai kebenarannya.
Secara kebetulan pula Raja Malikul Megah sangat suka memancing. Walaupun Permaisuri Merak Cahaya berat hati hendak membenarkan suaminya pergi memancing, namun Rajaj Malikul Megah sudah bersedia hendak melakukannya.
Maka, pada keesokan paginya dengan cuaca yang baik, Raja Malikul Megah yang sudah memakai pakaian seperti seorang nelayan, telah pun turun ke tasik itu dengan seorang pengawal yang sangat dipercayai. Permaisuri Merak Cahaya melepaskan suaminya dengan berat hati.
Orang yang biasa memancing di tasik memberitahu di tasik itu tidak mempunyai ikan. Sia-sia sahaja usaha nelayan yang hendak memancing di tasik itu. Raja Malikul Megah tidak peduli. Baginda harus akur dengan mimpi permaisurinya.
Raja Malikul Megah terus melabuhkan pancingnya apabila sahaja baginda sampai di tasik itu. Baginda terus duduk di situ. Namun sudah berjam-jam baginda melabuhkan mata pancingnya tetapi tidak seekor pun ikan yang mengena di mata pancingnya itu. Namun Rajaj Malikul Megah tidak berputus asa.
Apabila hari sudah semakin senja, barulah baginda mendapat seekor ikan. Namun ikan itu teramatlah ganjil rupanya. Rupa ikan itu sangat hodoh dan muncungnya agak bulat. Kulitnya berwarna putih berbintik-bintik hitam. Pasti bukan ini ikan yang hendak dicari. Raja Malikul Megah agak hairan dengan ikan itu. Baginda pun membuang semula ikan ke tasik tanpa membuang masa.
“Tuanku, ikan itu jangan dibuang. Mungkin itu sahaja rezeki kita kita pada hari ini,” kata pengawal baginda.” Raja Malikul Megah tidak mempedulikan kata-kata pengawalnya itu.
“Ikan itu ganjil sahaja rupanya, mana boleh kita makan!” kata Raja Malikul Megah. Pengawalnya akur dengan kata-kata Raja Malikul Megah.
Tidak lama kemudian, pancing Raja Malikul Megah ditarik lagi. Baginda pun mengangkat ikan tersebut. Ikan yang sama juga juga diangkatnya. Sekali lagi Raja Malikul Megah terus membuang ikan tersebut ke tasik itu.
“Jangan dibuang ikan itu tuanku, ikan itu ikan  buntal!” kata pengawalnya sekali lagi. Pengawalnya pun sudah gelisah dengan perbuatan Raja Malikul Megah.
“Tunggulah kali ketiga ini. Beta pun tidak mahu membuang masa di sini,” kata Raja Malikul Megah.
Baginda melabuhkan mata pancingnya semula. Baginda berharap agar baginda mendapat ikan yang lebih besar kali ini. Apabila mata pancingnya ditarik, ikan yang sama diperolehinya. Dalam hatinya berkata, patutlah permaisuri berat hati membenarkan baginda keluar memancing pada hari ini. Rupanya hari ini nasib tidak baik. Kata hati Raja Malikul Megah.
Dia mengambil ikan yang sama itu dan dalam masa yang sama baginda hendak membuang semula ikan tersebut. Tetapi belum sempat Raja Malikul Megah membuang ikan tersebut, ikan tersebutlah telah pun berkata.
Bulat mata Raja Malikul Megah dan pengawalnya mendengar ikan buntal itu boleh berkata-kata. Tidak pernah mereka melihat ikan pandai berkata-kata seperti manusia.
“Tolonglah jangan engkau buang aku. Bawalah aku pulang! Jika tidak engkau akan menyesal,” kata ikan buntal itu merayu. Suaranya lemah. Mungkin kerana sudah dua kali dibuang ke tasik itu.
“Apa gunanya aku membawa kau pulang ikan?” soal Raja Malikul Megah dengan marah.
“Dengarlah dengan baik-baik akan pesanan aku ini.” Kata ikan buntal itu. Raja Malikul Megah pun mula mendengar apa yang hendak diperkatakan oleh ikan buntal tersebut.
“Apa yang engkau nak cakap wahai ikan?” Tanya Raja Malikul Megah. Dia menundukkan pandangannya dan merendahkan tubuhnya.
“Begini, apabila engkau sampai di rumah nanti, belahlah perutku ini dan buang segala isi perutku ke dalam timbunan baja. Kemudian kikislah semua sisikku, jangan ada yang tertinggal. Selepas itu keratlah kepalaku dan tanamkan di bawah batu di tepi rumah engkau. Engkau ambil pula bahagian belakangku dan rebuslah ia sehingga masak. Mintalah isterimu yang memakannya. Engkau jangan sekali-kali memakannya. Tidak lama kemudian, isterimu akan mengandung dan melahirkan anak kembar lelaki.” Kata ikan tersebut. Raja Malikul Megah tersenyum mendengar isterinya akan melahirkan anak. Itulah yang selama ini ditunggu-tunggunya.
“Baiklah, kalau begitu.” Kata Raja Malikul Megah yang sudah gembira dengan perkhabaran itu.
“Ada lagi yang ingin kukatakan.” Kata ikan buntal tersebut. Raja Malikul Megah terhenti seketika. Begitu juga dengan pengawalnya.
“Bahagian badanku yang lain ini hendaklah engkau simpan sehingga anakmu itu berusia tujuh tahun. Pada hari jadi anakmu yang ketujuh tahun, potonglah badanku menjadi dua bahagian. Berikan sebahagian perutku ini kepada kuda betinamu dan bahagian kedua kepada burung merpatimu. Kuda betina itu akan mendapat dua ekor anak dan burung merpati juga akan mendapat dua ekor anak. Kesemua binatang itu hendaklah engkau pelihara dengan baik.
Apabila anak-anakmu itu berusia tujuh belas tahun, engkau koreklah bawah batu tempat engkau menyimpan kepalaku itu. Di situ engkau akan dapati tulang rahangku itu akan bertukar menjadi dua bilah pedang sakti dan tulang telingaku akan bertukar menjadi dua butir cincin sakti dengan permata hijau. Berikanlah kepada kedua-dua anak lelakimu itu nanti. Setiap seorang akan mendapat sebilah pedang, sebutir cincin, seekor kuda dan seekor burung merpati. Sisik ikan pula akan bertukar menjadi wang syiling emas yang akan mereka gunakan semasa mereka dalam pengembaraan kelak. Wang syiling emas itu hendaklah engkau bahagikan sama rata kepada mereka berdua.” Kata ikan buntal itu. Matanya sudah kuyu memandang Raja Malikul Megah. Namun ikan buntal itu belum habis bercakap lagi.
“Pedang itu dapat membunuh apa sahaja dan parang pula dapat menunjukkan tanda bahaya yang akan menimpa salah seorang dari mereka. Jikalau ada bahaya yang menimpa mereka, cincin itu akan bertukar warna secara tiba-tiba. Mulai hari ini pemerintahan engkau juga akan menjadi aman damai dan hilang seteru. Jadi, ingatlah apa yang kukatakan tadi. Jika engkau tidak ingat, bahaya akan mendatangi hidup engkau suami isteri,” kata ikan buntal itu.
Setelah menghabiskan kata-katanya, ikan buntal itu pun mati. Raja Malikul Malik segera mengambil kudanya dan membawa ikan buntal itu di dalam bakulnya. Kemudian, bagindapun bergerak dengan pantas menuju ke istana. Pengawalnya mengawal rapat di belakangnya.








Bab 2
         “Adinda permaisuri! Adinda permaisuri! Cepat!” Raja Malikul Megah bergegas memanggil isterinya apabila baginda sudah sampai di depan istana. Baginda ingin segera mengkhabarkan kepada isterinya akan berita yang baru dibawanya. Pada hari itu, senja sudah bertukar menjadi malam.
         “Ada apa kanda?” soal Permaisuri Merak Cahaya yang berasa bimbang dengan pemergian suaminya berdasarkan mimpinya itu.
         “Lihat, kanda bawa ikan ini untuk adinda. Mimpi adinda permaisuri memang benar sekali,” kata Raja Malikul Megah.
         “Oh syukurlah kanda. Tidak disangka mimpi itu benar. Tidak sia-sialah kanda pergi ke tasik itu. Dinda sungguh bimbang kanda!” kata Permaisuri Merak Cahaya kepada suaminya. Pengawal mereka hanya memerhatikan sahaja. Begitu juga dengan inang-inang istana yang lain.
         “Nah, inilah ikannya. Ikan ini sungguh ajaib dinda. Adinda hendak lah memotong sendiri ikan ini. Besar hikmahnya,” kata Raja Malikul Megah dengan rendah diri.
         “Baiklah kanda. Kanda akan melakukan apa yang kanda arahkan,” kata Permaisuri Merak Cahaya.
         “Dinda, bukan kanda yang arahkan, tapi ikan ini yang bercakap dan mengarahkan apa yang akan kita buat seterusnya.” Kata Raja Malikul Megah. Permaisuri pun memahami. Baginda permaisuri terus sahaja ke dapur dan memotong ikan buntal itu.
Apabila sampai di dapur, baginda menyuruh isterinya permaisuri Merak Cahaya membuat seperti apa yang telah disuruh oleh ikan buntal itu.
Tidak lama kemudian, Permaisuri Merak Cahaya pun mengandunglah selama sembilan bulan Sembilan hari. Setelah itu baginda permaisuri pun melahirkan anak kembar lelaki. Kedua-dua lelaki. Mereka diberikan nama Putera Malikul Indera dan Putera Malikul Alam. Mereka membesar dengan sebaya, sama kacak dan sama-sama bijak. Mereka sentiasa bersama-sama di mana-mana sahaja. Belajar dan bermain. Mereka tidak pernah bertengkar ataupun mengeluarkan kata-kata yang boleh menyakitkan sesama mereka.
Pada hari jadi mereka yang ketujuh, ayahanda mereka Raja Malikul Megah pun teringatkan pesanan ikan buntal tersebut. Baginda pun mengambil ikan yang sudah lama tersimpan di dalam air garam itu. Lalu baginda memotong menjadi dua bahagian. Bahagian perut diberikan kepada kuda betina dan bahagian yang satu lagi diberikan kepada burung merpati. Beberapa bulan kemudian, kuda betina itu pun beranaklah. Anak kuda itu sebanyak dua ekor. Kedua-duanya comel-comel belaka. Burung merpati juga mendapat dua ekor anak. Kedua-dua anaknya burung mempunyai warna yang serupa dan sebaya.
“Wah bertuahnya kita ayahanda, dikurniakan binatang-binatang yang comel ini, patik sungguh suka sekali,” kata Putera Malikul Indera berasa seronok sekali melihat anak-anak kuda yang comel-comel sekali.
“Ya, patik pun suka ayahanda. Ayahanda memang bijak sekali.” Kata Putera Malikul Alam pula. Raja Malikul Megah tidak berkata apa-apa. Baginda hanya terkenangkan ikan buntal yang dipancingnya dahulu.
“Anakanda berdua, burung merpati dan kuda-kuda ini adalah hadiah ayahanda untuk kedua-dua anakanda,” Raja Malikul Megah berkata kepada kedua-dua anakandanya.
“Oh seronoknya ayahanda. Kalau kuda-kuda ini sudah besar, bolehlah anakanda belajar menunggang kuda pula ya.” Kata Putera Malikul Alam pula.
“Oh sudah tentu lah! Ayahanda akan mengajar kamu berdua nanti.” Kata Raja Malikul Megah. Kedua-dua putera itu bertambah gembira. Namun Raja Malikul Megah tetap pula berasa sedih kerana kedua-dua anakandanya itu akan pergi ke alam lain suatu hari nanti. Itulah yang menyedihkannya selalu.
         “Kenapa ayahanda Nampak sedih?” soal Putera Malikul Indera memerhatikan ayahandanya yang kelihatan sugul itu.

         “Tak ada apa-apa anakanda, kalian sudah semakin membesar. Ayahanda selalu berdoa agar anakanda akan hidup bahagia nanti,” kata Raja Malikul Megah menutup rasa sedihnya. 

Novel Kanak-Kanak: Orah 1

Tajuk: Orah
Bab 1
Ibu dan Ayah Orah
Nama saya Izzah Munira. Ibu pula memanggil saya dengan panggilan Orah. Entah kenapa ibu suka memanggil saya dengan nama itu. Mungkin ibu ada cerita di sebalik nama tersebut. Saya tidak tahu tentang hal itu.
         Pada usia saya menjangkau enam tahun, ibu meninggalkan saya bersama nenek Jarah di kampung. Nenek Jarah itu adalah emak kepada  ibu. Saya pun dengan hati yang sebak dan terharu duduklah di kampung bersama nenek Jarah. Pada masa yang sama adik saya Assila pun ditinggalkan bersama nenek Jarah di kampung itu. Kampung Kepayan namanya.
Kampung tempat saya tinggal ini berdekatan dengan laut. Tidak sampai satu kilometer sudah tiba di laut. Pantai juga panjang dan pasirnya memutih. Saya menyukai kampung ini walaupun mulut nenek Jarah yang bising tidak dapat ditutup dengan penutup kuali. Nenek Jarah suka bercakap apa sahaja topik mengalahkan pemidato hebat negara. Memang kalah!
Sudah empat tahun saya tinggal dengan nenek di kampung itu. Sudah empat tahun. Sekarang usia sudah sepuluh tahun. Saya sudah berada di tahun empat ketika ini. Saya bersekolah di Sekolah Pekan Kuala Terubuk. Setiap pagi nenek Jarah yang menghantar saya ke sekolah. Itulah kebaikan nenek Jarah. Walaupun mulutnya bising dan perwatakannya garang namun dia tetap penyayang. Saya juga sayangkan nenek Jarah.
Saya sudah mula menjadi dewasa. Kata nenek Jarah. Jangan ingat diri kita sentiasa kecil dan sentiasa menjadi kanak-kanak. Belajarlah menjadi dewasa kerana lama-lama kanak-kanak akan jadi dewasa. Pesan nenek Jarah dengan suaranya garaunya dan tanpa senyuman itu. Mungkin dia sudah geram melayani saya sebagai kanak-kanak. Tidak apa, saya pun suka dilayan macam orang dewasa. Kata saya kepada diri saya.
Pada mulanya saya tidak faham kenapa saya ditinggalkan di kampung Kepayan ini. Dulu, saya tinggal bersama ayah, ibu dan adik saya Assila di sebuah rumah di Bandar raya. Entah di bahagian mana di Kota Kinabalu, saya tidak tahu. Ibu tidak mahu menyebutnya semula. Barangkali ibu bukan lupa, tetapi ibu sudah fobia menyebut nama tempat itu. Apa-apalah ibu, apa yang penting ibu gembira. Itulah yang saya cuba doakan setiap kali saya berdoa di dalam solat saya.
Kata ibu, ayah sudah tidak wujud lagi ketika saya ditempatkan di kampung. Kasihan ayah. Entah di mana ayah ketika ini. Kata ibu, ayah sudah tidak memerlukan kami lagi. Hendak mengalir air mata saya mendengarnya. Sampai hati ayah membuang kami dari hatinya. Maksud saya, ayah sudah tidak mahu saya, Assila dan ibu lagi. Entah kenapa ayah berubah tiba-tiba begitu.
Saya tiba-tiba terbayang wajah tembam ayah di ruang mata saya yang agak kecil ini. Setiap kali ayah pulang ke rumah kami, wajah ayah kusam dan terlalu penat. Ayah seperti menanggung masalah yang seribu kali lebih berat daripada orang lain. Entah masalah apa, saya betul-betul tidak tahu. Malah, ketika saya pulang, hari sudah terlalu malam dan saya pula terlalu mengantuk. Akibat terlalu mengantuk, saya tidak peduli rusuhan yang berlaku antara ayah dan ibu.
Apa yang penting saya tidur dan bermimpi yang indah-indah pada malam itu. Saya ingin bermimpikan Musketeer, Barbie, tikus besar, gergasi dan Alice dengan kacang yang berlilit-lilit panjang hingga ke langit. Uh, kalau saya sudah bermimpi indah itu, dunia terbalik pun saya sudah tidak peduli lagi. Malah, saya tidak mahu wajah penat ayah dan wajah murung ibu muncul dalam mimpi saya itu. Saya tidak mahu berjumpa kedua-dua mereka kerana saya tidak mahu ayah pukul tubuh kecil saya seperti mana ayah pukul ibu. Cukuplah ayah pukul ibu dan bukannya pukul Orah dan Assila! Uh, ngerinya kalau terbayang wajah monyok ayah!
Perasaan jadi tidak keruan pula saya kalau saya selalu mengingati ayah. Kata ibu, biarlah ayah menjadi sejarah. Walaupun saya tidak faham makna sejarah saya tetap mengangguk juga. Uh, memang kalau terlalu dikenang, akan membukitkan serabut di kepala saya ini.
“Betul ibu! Orah setuju!” kata saya menyokong kata ibu. Ibu merenung wajah saya dengan tajam. Menakutkan sungguh rona mata ibu ketika itu. Saya yang tadinya terlompat-lompat terus terdiam sahaja.
“Apa yang betul? Apa yang setuju?” soal ibu dengan suara garau seperti nenek Jarah. Saya jadi kecut dibuatnya.
“Orah setuju kalau ayah jadi sejarah,” kata saya lambat-lambat. Ibu mengangguk dan mencubit pipi gebu yang saya miliki. Saya lihat air mata ibu bagaikan bergenang. Mungkin mengenang ayah. Tambahan pula saya mengatakan yang ayah sudah menjadi sejarah. Kasihan ayah!
“Pandai anak ibu! Anak ibu mesti jadi orang yang berjaya suatu hari nanti. Jangan jadi macam ibu, pelajaran setengah jalan saja,” kata ibu. Saya menjadi ceria kembali ketika ibu mencubit pipi saya dengan penuh kasih sayang.
“Ibu boleh belajar lagi kan, ibu kan masih muda,” kata saya memberikan ibu pengharapan. Ibu hanya mengangguk. Tidak ada ulasan bagi cadangan saya itu. ibu memang begitu dalam garang ada tegas. Ada bising ada diam.
Saya tahu pada masa itu ibu masih tertekan dan ketakutan. Menurut nenek Jarah, ibu tidak mahu menerima gelaran ‘janda’ tetapi terpaksa juga ibu menerimanya. Saya menjadi sungguh simpati kepada ibu. Ah, apalah yang saya faham tentang masalah ibu itu. Apa yang saya tahu, saya sangat kasihankan ibu. Sangat kasihan.
Sudah beberapa hari ayah pergi, wajah ibu yang sugul dan cengkung sudah berubah. Wajah ibu sudah mula kemerahan. Wajah ibu sudah semakin ceria. Perempuan semuda dan sejelita ibu tidak sepatutnya menghadapi masalah sebesar itu. Ibu juga sepatutnya dilayani dengan baik oleh ayah. Ah, lupakanlah semua itu, ia tidak menjadi kenyataan antara ayah dan ibu. Ibu pun sudah berubah. Ibu sudah berubah menjadi wanita yang gagah dan cantik. Saya suka ibu. Saya sayang ibu yang gagah dan ceria.
Saya ingin melihat ibu cantik dan gembira sentiasa. Saya suka melihat ibu sentiasa tersenyum di samping anak-anaknya. Saya dan Assila. Alangkah bahagianya hidup Orah kalau melihat hidup ibu sudah berubah. Alangkah gembiranya juga Orah melalui hari-hari yang akan datang. Alangkah ceria Orah selepas ini. Tidak ada lagi mendung di wajah ibu. Tidak ada lagi guruh. Tidak ada lagi hujan. Tidak ada lagi kemarau. Apa yang ada hanyalah kebahagiaan ibu Orah!
Sedih memang sedih. Selepas ketiadaan ayah dalam hidup kami bertiga, kami memang dilimpahi kesedihan. Beberapa hari kami bertiga bagaikan berkabung. Namun kata ibu, hidup harus diteruskan walaupun ayah sudah membuang kami dari hidupnya.
Ya, itulah sebabnya Orah dan Assila pun melalui hidup baru. Ibu pun mengorak mencari penghidupan baru. Itulah sebabnya saya dan adik saya Assila masuk dalam kehidupan nenek Jarah yang garang itu. Ya, itulah bermulanya kehidupan baru saya dan Assila di kampung Kepayan. Ya di situlah bermula segala-galanya.
Ibu juga memulakan langkah barunya hidup sendiri tanpa anak-anak dan ayah di bandar. Ya, segala-gala yang baru harus berani ditempuhi. Segala-gala yang baru harus kuat dihadapi. Kalau tidak berani dan tidak tabah, bagaimana saya, Assila dan ibu menghadapi nasib dan cabaran yang baru pula, kan?
Ayuh, temani lah Orah menghadapi kehidupan baru di kampung walaupun kehidupan itu sudah empat tahun saya hadapi. Jom kita ke kampung Kepayan bersama nenek Jarah, Orah dan Assila!








Bab 2
Cikgu Don

Hari ini saya ke sekolah seperti biasa. Walaupun penyakit asma yang saya hidapi sejak kecil datang, namun saya gagahkan diri menuju ke sekolah. Wajah langit yang cerah harus saya hadapi dengan gembira. Matahari seakan-akan akan memancarkan surianya yang indah dan berseri. Saya menjadi bertambah gembira dengan panorama di sekeliling saya. Saya menjadi teruja hendak berjumpa dengan Cikgu Don yang tampan dan mengajar saya Sains selama satu jam. Itulah guru yang semakin menambahkan kegembiraan saya hendak menuju ke sekolah pagi ini.
         “Orah, kalau kau tak sihat, tak payahlah pegi sekolah,” kata nenek Jarah. Dalam garangnya tetap ada kasih sayang untuk saya dan Assila. Mata saya terkebil-kebil meminta saya ponteng lagi hari ini.
         ‘Oh tidak! Tidak nek! Saya mesti ke sekolah hari ini. Wajah tampan Cikgu Don mesti saya hadapi! Dia bakal mengajar saya Sains yang bertajuk “Penerokaan Ke Angkasa!’ Bisik saya dalam hati. Nenek Jarah tercengang melihat saya terkebil-kebil. Risau juga saya kalau nenek Jarah serius dalam tindakannya.
         “Tak nek. Orah sihat ni! Orah nak pegi sekolah.” Kataku ringkas sahaja. Namun suara saya penuh dengan semangat. Kalah semangat tentera yang hendak berjuang menegakkan keadilan.
         “Oh kalau macam tu tak apalah. Kalau tak sihat, nanti petang kita pegi hospital. Tak payah lah kau pergi sekolah agama!” cadang nenek Jarah. Dengan cadangannya yang kedua itu, saya terus mengangguk dengan penuh semangat lagi. Kalah semangat tentera yang hendak berjuang lagi.
         Oh, saya sudah tiba di tepi pagar sekolah. Saya seolah-olah ternampak Cikgu Don berjalan ke sekolah dengan sekaki payung hitamnya. ‘Ah, kenapa saya termenung lagi!’ Usik saya kepada diri sendiri. Sebenarnya yang saya lihat itu bukan Cikgu Don tetapi Cikgu Hasbah sedang menghayun cangkul. Itulah kebiasaannya guru yang mengajar Matematik itu. Pagi-pagi dia tiba di sekolah dan dia akan mencangkul tanah di satu kawasan tanaman herba di sekolah itu. Ah, lantaklah Cikgu Hasbah! Apa yang penting, saya nak duduk dengan sebaiknya dan mendengar dengan setelitinya untuk mata pelajaran Sains! Ya mata pelajaran Sains bertajuk Penerokaan Ke Angkasa.
         Kenapa saya suka akan tajuk itu? Kalian tidak tahu lagi, betapa saya ingin mengetahui dengan cukup teliti akan tempat tersebut. Sudah lama saya membelek buku teks sains tahun empat itu. Dan, kini, hari inilah masanya saya belajar bersama guru sains saya. Uh, siapa yang tidak bersemangat. Orang sakit pun boleh sembuh kalau Cikgu Don yang sudah mengajar. Cikgu Don adalah guru yang mempunyai persediaan yang cukup apabila sudah mula mengajar. Tetapi, awas, murid yang hendak diajarnya pun kenalah penuh persediaan.
         “Izzah Munira,” Dengan lantang Cikgu Don memanggil nama saya. Saya terus berdiri dengan penuh azam akan menjawab soalan guru sains itu. Mata saya tidak berkedip memandang wajah Cikgu Don. Cikgu Don yang berjalan-jalan di sekitar kelas dengan rotan itu tiba-tiba memanggil namanya. Memang sungguh menakutkan. Semua murid mesti sentiasa bersedia mendengar soalan yang tiba-tiba terpacul dari mulut comel Cikgu Don. Hmm, Cikgu Don yang kacak dan bermisai tipi situ.
         “Ya saya cikgu!” kata saya berdiri tegak mengalahkan tentera yang sedang membuat kawad kaki di padang. Wajah tampan Cikgu Don saya pandang dengan penuh sungguh-sungguh.
         “Awak dah baca tajuk yang saya suruh semalam?” saya terus angguk. Soalan mudah sahaja diberikan oleh Cikgu Don. Adik saya Assila di rumah pun boleh jawab.
         “Sudah cikgu!” kata saya dengan penuh jujur. Cikgu Don memandang wajah saya dengan sungguh-sungguh juga. Terdapat sebatang rotan di tangannya. Kalau sesiapa tidak boleh menjawab soalannya pasti rotan itu akan hinggap di tangan sesiapa sahaja.
         “Bagus, pesawat ulang alik awak dah baca?” soalnya pula. Saya masih berdiri tegak di tempat saya.
         “Err, tak ada pula tajuk pesawat ulang alik cikgu. Tapi pesawat ulang alik tu memang saya tahu cikgu. Macam bas Tung Ma yang ulang alik Kota Kinabalu dan Beaufort tu!” sahut saya dengan yakin. Mata saya tegang memandang wajah Cikgu Don. Saya tidak mahu jawapan saya salah. Saya tidak mahu kawan-kawan sekelas mentertawakan saya. Saya tidak mahu rotan halus Cikgu Don itu terkena di tangan-tangan halus saya ini. Saya tidak mahu!
         “Jadi awak tahu lah ni? Awak ni memang bijak! Macam nil ah yang cikgu suka!” katanya pula. His, lima minit habis hanya untuk menyuruh saya berdiri. Lenguh lah kaki saya. Sabarlah Orah!
         “Saya pernah terbaca cikgu tapi dalam tajuk yang kita akan belajar hari ni tak ada pula!” sahut saya dengan jujur. Meletus ketawa Cikgu Don. Murid-murid yang lain juga sudah ketawa dengan penuh gamat. ‘His, apa pula yang lucunya ni? Sedap aje mentertawakan saya!’ Kata saya dalam hati.
         “Awak duduk dulu Izzah Munira. Bagus, awak sudah baca tajuk ni. Senanglah cikgu nak menerangkan tajuk ni nanti. Cikgu harap murid lain pun dah baca tajuk ni ya!” kata Cikgu Don dan saya sudah duduk dengan perasaan lega seleganya.
Selepas itu Cikgu Don menerangkan seluruh pengajarannya dengan penuh kesungguhan. Seperti yang saya sudah janjikan, saya mendengar dan menyalin dengan penuh teliti. Saya puas hati dengan apa yang telah diterangkan. Uh, selepas ini saya akan ke Pusat Sumber Sekolah dan Perpustakaan Daerah untuk menelaah lebih banyak mengenai hal ini. Pasti saya akan mendapat sesuatu dari apa yang saya usahakan dengan bersungguh-sungguh. Saya berjanji dan berusaha. Selepas itu saya akan berdoa. Ingat Orah, kena berdoa dan bertawakkal. Saya mengingatkan diri sendiri.
“Okay murid-murid, balik rumah nanti, kamu semua buat ulangkaji lagi. Jangan lupa latihan yang cikgu bagi tu! Esok pagi kamu semua hantar ke meja cikgu  ya! Kalau tak ada esok awas ya,” Pesanan Cikgu Don saya simpan kemas dalam jiwa muda saya ini. Pesanan itu juga menyebabkan murid-murid juga akan tergamam. Kata-kata semangatnya akan menambahkan maraknya api semangat yang sentiasa membara di hati saya.

Matahari yang memancar garang di kepala dan memanah ke kulit saya, saya biarkan sahaja. Saya sudah biasa dengan keadaan begini. Melalui jalan raya sejauh setengah kilometer menuju ke rumah nenek Jarah, saya tidak peduli dengan panas yang menggigit. Saya sudah mendapat apa yang saya inginkan sejak pagi. Cikgu Don telah masuk ke kelas Empat Berlian dengan penuh kekemasan dan penuh persediaan. Hasilnya, saya sudah dapat menangkap semua yang telah diajarkannya. Syukur Alhamdulillah. Sekali lagi saya mengangkat tangan walaupun dalam hati kerana mensyukuri nikmat Allah yang diberikannya kepada Izzah Munira.