Tajuk:
Orah
Bab 1
Ibu
dan Ayah Orah
Nama saya Izzah Munira. Ibu pula
memanggil saya dengan panggilan Orah. Entah kenapa ibu suka memanggil saya
dengan nama itu. Mungkin ibu ada cerita di sebalik nama tersebut. Saya tidak
tahu tentang hal itu.
Pada
usia saya menjangkau enam tahun, ibu meninggalkan saya bersama nenek Jarah di
kampung. Nenek Jarah itu adalah emak kepada
ibu. Saya pun dengan hati yang sebak dan terharu duduklah di kampung
bersama nenek Jarah. Pada masa yang sama adik saya Assila pun ditinggalkan
bersama nenek Jarah di kampung itu. Kampung Kepayan namanya.
Kampung tempat saya
tinggal ini berdekatan dengan laut. Tidak sampai satu kilometer sudah tiba di
laut. Pantai juga panjang dan pasirnya memutih. Saya menyukai kampung ini
walaupun mulut nenek Jarah yang bising tidak dapat ditutup dengan penutup
kuali. Nenek Jarah suka bercakap apa sahaja topik mengalahkan pemidato hebat
negara. Memang kalah!
Sudah empat tahun
saya tinggal dengan nenek di kampung itu. Sudah empat tahun. Sekarang usia
sudah sepuluh tahun. Saya sudah berada di tahun empat ketika ini. Saya
bersekolah di Sekolah Pekan Kuala Terubuk. Setiap pagi nenek Jarah yang
menghantar saya ke sekolah. Itulah kebaikan nenek Jarah. Walaupun mulutnya
bising dan perwatakannya garang namun dia tetap penyayang. Saya juga sayangkan
nenek Jarah.
Saya sudah mula
menjadi dewasa. Kata nenek Jarah. Jangan ingat diri kita sentiasa kecil dan
sentiasa menjadi kanak-kanak. Belajarlah menjadi dewasa kerana lama-lama
kanak-kanak akan jadi dewasa. Pesan nenek Jarah dengan suaranya garaunya dan
tanpa senyuman itu. Mungkin dia sudah geram melayani saya sebagai kanak-kanak.
Tidak apa, saya pun suka dilayan macam orang dewasa. Kata saya kepada diri
saya.
Pada mulanya saya
tidak faham kenapa saya ditinggalkan di kampung Kepayan ini. Dulu, saya tinggal
bersama ayah, ibu dan adik saya Assila di sebuah rumah di Bandar raya. Entah di
bahagian mana di Kota Kinabalu, saya tidak tahu. Ibu tidak mahu menyebutnya
semula. Barangkali ibu bukan lupa, tetapi ibu sudah fobia menyebut nama tempat
itu. Apa-apalah ibu, apa yang penting ibu gembira. Itulah yang saya cuba doakan
setiap kali saya berdoa di dalam solat saya.
Kata ibu, ayah sudah
tidak wujud lagi ketika saya ditempatkan di kampung. Kasihan ayah. Entah di mana
ayah ketika ini. Kata ibu, ayah sudah tidak memerlukan kami lagi. Hendak
mengalir air mata saya mendengarnya. Sampai hati ayah membuang kami dari
hatinya. Maksud saya, ayah sudah tidak mahu saya, Assila dan ibu lagi. Entah
kenapa ayah berubah tiba-tiba begitu.
Saya tiba-tiba
terbayang wajah tembam ayah di ruang mata saya yang agak kecil ini. Setiap kali
ayah pulang ke rumah kami, wajah ayah kusam dan terlalu penat. Ayah seperti
menanggung masalah yang seribu kali lebih berat daripada orang lain. Entah masalah
apa, saya betul-betul tidak tahu. Malah, ketika saya pulang, hari sudah terlalu
malam dan saya pula terlalu mengantuk. Akibat terlalu mengantuk, saya tidak
peduli rusuhan yang berlaku antara ayah dan ibu.
Apa yang penting
saya tidur dan bermimpi yang indah-indah pada malam itu. Saya ingin bermimpikan
Musketeer, Barbie, tikus besar, gergasi dan Alice dengan kacang yang
berlilit-lilit panjang hingga ke langit. Uh, kalau saya sudah bermimpi indah
itu, dunia terbalik pun saya sudah tidak peduli lagi. Malah, saya tidak mahu
wajah penat ayah dan wajah murung ibu muncul dalam mimpi saya itu. Saya tidak
mahu berjumpa kedua-dua mereka kerana saya tidak mahu ayah pukul tubuh kecil
saya seperti mana ayah pukul ibu. Cukuplah ayah pukul ibu dan bukannya pukul Orah
dan Assila! Uh, ngerinya kalau terbayang wajah monyok ayah!
Perasaan jadi tidak
keruan pula saya kalau saya selalu mengingati ayah. Kata ibu, biarlah ayah
menjadi sejarah. Walaupun saya tidak faham makna sejarah saya tetap mengangguk
juga. Uh, memang kalau terlalu dikenang, akan membukitkan serabut di kepala
saya ini.
“Betul ibu! Orah
setuju!” kata saya menyokong kata ibu. Ibu merenung wajah saya dengan tajam.
Menakutkan sungguh rona mata ibu ketika itu. Saya yang tadinya terlompat-lompat
terus terdiam sahaja.
“Apa yang betul? Apa
yang setuju?” soal ibu dengan suara garau seperti nenek Jarah. Saya jadi kecut
dibuatnya.
“Orah setuju kalau
ayah jadi sejarah,” kata saya lambat-lambat. Ibu mengangguk dan mencubit pipi
gebu yang saya miliki. Saya lihat air mata ibu bagaikan bergenang. Mungkin
mengenang ayah. Tambahan pula saya mengatakan yang ayah sudah menjadi sejarah.
Kasihan ayah!
“Pandai anak ibu!
Anak ibu mesti jadi orang yang berjaya suatu hari nanti. Jangan jadi macam ibu,
pelajaran setengah jalan saja,” kata ibu. Saya menjadi ceria kembali ketika ibu
mencubit pipi saya dengan penuh kasih sayang.
“Ibu boleh belajar
lagi kan, ibu kan masih muda,” kata saya memberikan ibu pengharapan. Ibu hanya
mengangguk. Tidak ada ulasan bagi cadangan saya itu. ibu memang begitu dalam
garang ada tegas. Ada bising ada diam.
Saya tahu pada masa
itu ibu masih tertekan dan ketakutan. Menurut nenek Jarah, ibu tidak mahu
menerima gelaran ‘janda’ tetapi terpaksa juga ibu menerimanya. Saya menjadi
sungguh simpati kepada ibu. Ah, apalah yang saya faham tentang masalah ibu itu.
Apa yang saya tahu, saya sangat kasihankan ibu. Sangat kasihan.
Sudah beberapa hari
ayah pergi, wajah ibu yang sugul dan cengkung sudah berubah. Wajah ibu sudah
mula kemerahan. Wajah ibu sudah semakin ceria. Perempuan semuda dan sejelita
ibu tidak sepatutnya menghadapi masalah sebesar itu. Ibu juga sepatutnya
dilayani dengan baik oleh ayah. Ah, lupakanlah semua itu, ia tidak menjadi
kenyataan antara ayah dan ibu. Ibu pun sudah berubah. Ibu sudah berubah menjadi
wanita yang gagah dan cantik. Saya suka ibu. Saya sayang ibu yang gagah dan
ceria.
Saya ingin melihat
ibu cantik dan gembira sentiasa. Saya suka melihat ibu sentiasa tersenyum di
samping anak-anaknya. Saya dan Assila. Alangkah bahagianya hidup Orah kalau
melihat hidup ibu sudah berubah. Alangkah gembiranya juga Orah melalui
hari-hari yang akan datang. Alangkah ceria Orah selepas ini. Tidak ada lagi
mendung di wajah ibu. Tidak ada lagi guruh. Tidak ada lagi hujan. Tidak ada
lagi kemarau. Apa yang ada hanyalah kebahagiaan ibu Orah!
Sedih memang sedih.
Selepas ketiadaan ayah dalam hidup kami bertiga, kami memang dilimpahi
kesedihan. Beberapa hari kami bertiga bagaikan berkabung. Namun kata ibu, hidup
harus diteruskan walaupun ayah sudah membuang kami dari hidupnya.
Ya, itulah sebabnya
Orah dan Assila pun melalui hidup baru. Ibu pun mengorak mencari penghidupan
baru. Itulah sebabnya saya dan adik saya Assila masuk dalam kehidupan nenek
Jarah yang garang itu. Ya, itulah bermulanya kehidupan baru saya dan Assila di
kampung Kepayan. Ya di situlah bermula segala-galanya.
Ibu juga memulakan
langkah barunya hidup sendiri tanpa anak-anak dan ayah di bandar. Ya,
segala-gala yang baru harus berani ditempuhi. Segala-gala yang baru harus kuat
dihadapi. Kalau tidak berani dan tidak tabah, bagaimana saya, Assila dan ibu
menghadapi nasib dan cabaran yang baru pula, kan?
Ayuh, temani lah
Orah menghadapi kehidupan baru di kampung walaupun kehidupan itu sudah empat
tahun saya hadapi. Jom kita ke kampung Kepayan bersama nenek Jarah, Orah dan
Assila!
Bab
2
Cikgu Don
Hari ini saya ke sekolah seperti biasa.
Walaupun penyakit asma yang saya hidapi sejak kecil datang, namun saya gagahkan
diri menuju ke sekolah. Wajah langit yang cerah harus saya hadapi dengan
gembira. Matahari seakan-akan akan memancarkan surianya yang indah dan berseri.
Saya menjadi bertambah gembira dengan panorama di sekeliling saya. Saya menjadi
teruja hendak berjumpa dengan Cikgu Don yang tampan dan mengajar saya Sains
selama satu jam. Itulah guru yang semakin menambahkan kegembiraan saya hendak
menuju ke sekolah pagi ini.
“Orah,
kalau kau tak sihat, tak payahlah pegi sekolah,” kata nenek Jarah. Dalam
garangnya tetap ada kasih sayang untuk saya dan Assila. Mata saya
terkebil-kebil meminta saya ponteng lagi hari ini.
‘Oh
tidak! Tidak nek! Saya mesti ke sekolah hari ini. Wajah tampan Cikgu Don mesti
saya hadapi! Dia bakal mengajar saya Sains yang bertajuk “Penerokaan Ke
Angkasa!’ Bisik saya dalam hati. Nenek Jarah tercengang melihat saya
terkebil-kebil. Risau juga saya kalau nenek Jarah serius dalam tindakannya.
“Tak
nek. Orah sihat ni! Orah nak pegi sekolah.” Kataku ringkas sahaja. Namun suara
saya penuh dengan semangat. Kalah semangat tentera yang hendak berjuang
menegakkan keadilan.
“Oh
kalau macam tu tak apalah. Kalau tak sihat, nanti petang kita pegi hospital.
Tak payah lah kau pergi sekolah agama!” cadang nenek Jarah. Dengan cadangannya
yang kedua itu, saya terus mengangguk dengan penuh semangat lagi. Kalah semangat
tentera yang hendak berjuang lagi.
Oh,
saya sudah tiba di tepi pagar sekolah. Saya seolah-olah ternampak Cikgu Don
berjalan ke sekolah dengan sekaki payung hitamnya. ‘Ah, kenapa saya termenung
lagi!’ Usik saya kepada diri sendiri. Sebenarnya yang saya lihat itu bukan
Cikgu Don tetapi Cikgu Hasbah sedang menghayun cangkul. Itulah kebiasaannya
guru yang mengajar Matematik itu. Pagi-pagi dia tiba di sekolah dan dia akan
mencangkul tanah di satu kawasan tanaman herba di sekolah itu. Ah, lantaklah
Cikgu Hasbah! Apa yang penting, saya nak duduk dengan sebaiknya dan mendengar
dengan setelitinya untuk mata pelajaran Sains! Ya mata pelajaran Sains bertajuk
Penerokaan Ke Angkasa.
Kenapa
saya suka akan tajuk itu? Kalian tidak tahu lagi, betapa saya ingin mengetahui
dengan cukup teliti akan tempat tersebut. Sudah lama saya membelek buku teks
sains tahun empat itu. Dan, kini, hari inilah masanya saya belajar bersama guru
sains saya. Uh, siapa yang tidak bersemangat. Orang sakit pun boleh sembuh
kalau Cikgu Don yang sudah mengajar. Cikgu Don adalah guru yang mempunyai
persediaan yang cukup apabila sudah mula mengajar. Tetapi, awas, murid yang
hendak diajarnya pun kenalah penuh persediaan.
“Izzah
Munira,” Dengan lantang Cikgu Don memanggil nama saya. Saya terus berdiri
dengan penuh azam akan menjawab soalan guru sains itu. Mata saya tidak berkedip
memandang wajah Cikgu Don. Cikgu Don yang berjalan-jalan di sekitar kelas
dengan rotan itu tiba-tiba memanggil namanya. Memang sungguh menakutkan. Semua
murid mesti sentiasa bersedia mendengar soalan yang tiba-tiba terpacul dari
mulut comel Cikgu Don. Hmm, Cikgu Don yang kacak dan bermisai tipi situ.
“Ya
saya cikgu!” kata saya berdiri tegak mengalahkan tentera yang sedang membuat
kawad kaki di padang. Wajah tampan Cikgu Don saya pandang dengan penuh
sungguh-sungguh.
“Awak
dah baca tajuk yang saya suruh semalam?” saya terus angguk. Soalan mudah sahaja
diberikan oleh Cikgu Don. Adik saya Assila di rumah pun boleh jawab.
“Sudah
cikgu!” kata saya dengan penuh jujur. Cikgu Don memandang wajah saya dengan
sungguh-sungguh juga. Terdapat sebatang rotan di tangannya. Kalau sesiapa tidak
boleh menjawab soalannya pasti rotan itu akan hinggap di tangan sesiapa sahaja.
“Bagus,
pesawat ulang alik awak dah baca?” soalnya pula. Saya masih berdiri tegak di
tempat saya.
“Err,
tak ada pula tajuk pesawat ulang alik cikgu. Tapi pesawat ulang alik tu memang
saya tahu cikgu. Macam bas Tung Ma yang ulang alik Kota Kinabalu dan Beaufort
tu!” sahut saya dengan yakin. Mata saya tegang memandang wajah Cikgu Don. Saya
tidak mahu jawapan saya salah. Saya tidak mahu kawan-kawan sekelas
mentertawakan saya. Saya tidak mahu rotan halus Cikgu Don itu terkena di
tangan-tangan halus saya ini. Saya tidak mahu!
“Jadi
awak tahu lah ni? Awak ni memang bijak! Macam nil ah yang cikgu suka!” katanya
pula. His, lima minit habis hanya untuk menyuruh saya berdiri. Lenguh lah kaki
saya. Sabarlah Orah!
“Saya
pernah terbaca cikgu tapi dalam tajuk yang kita akan belajar hari ni tak ada
pula!” sahut saya dengan jujur. Meletus ketawa Cikgu Don. Murid-murid yang lain
juga sudah ketawa dengan penuh gamat. ‘His, apa pula yang lucunya ni? Sedap aje
mentertawakan saya!’ Kata saya dalam hati.
“Awak
duduk dulu Izzah Munira. Bagus, awak sudah baca tajuk ni. Senanglah cikgu nak
menerangkan tajuk ni nanti. Cikgu harap murid lain pun dah baca tajuk ni ya!”
kata Cikgu Don dan saya sudah duduk dengan perasaan lega seleganya.
Selepas itu Cikgu
Don menerangkan seluruh pengajarannya dengan penuh kesungguhan. Seperti yang
saya sudah janjikan, saya mendengar dan menyalin dengan penuh teliti. Saya puas
hati dengan apa yang telah diterangkan. Uh, selepas ini saya akan ke Pusat
Sumber Sekolah dan Perpustakaan Daerah untuk menelaah lebih banyak mengenai hal
ini. Pasti saya akan mendapat sesuatu dari apa yang saya usahakan dengan
bersungguh-sungguh. Saya berjanji dan berusaha. Selepas itu saya akan berdoa.
Ingat Orah, kena berdoa dan bertawakkal. Saya mengingatkan diri sendiri.
“Okay murid-murid,
balik rumah nanti, kamu semua buat ulangkaji lagi. Jangan lupa latihan yang
cikgu bagi tu! Esok pagi kamu semua hantar ke meja cikgu ya! Kalau tak ada esok awas ya,” Pesanan
Cikgu Don saya simpan kemas dalam jiwa muda saya ini. Pesanan itu juga
menyebabkan murid-murid juga akan tergamam. Kata-kata semangatnya akan
menambahkan maraknya api semangat yang sentiasa membara di hati saya.
Matahari yang
memancar garang di kepala dan memanah ke kulit saya, saya biarkan sahaja. Saya
sudah biasa dengan keadaan begini. Melalui jalan raya sejauh setengah kilometer
menuju ke rumah nenek Jarah, saya tidak peduli dengan panas yang menggigit.
Saya sudah mendapat apa yang saya inginkan sejak pagi. Cikgu Don telah masuk ke
kelas Empat Berlian dengan penuh kekemasan dan penuh persediaan. Hasilnya, saya
sudah dapat menangkap semua yang telah diajarkannya. Syukur Alhamdulillah.
Sekali lagi saya mengangkat tangan walaupun dalam hati kerana mensyukuri nikmat
Allah yang diberikannya kepada Izzah Munira.
No comments:
Post a Comment