Monday, November 25, 2013

Novel Kanak-Kanak: Orah 3

Novel Kanak-Kanak: Orah
Bab 3

“Kau dah balik Orah?” soal nenek Jarah sambil meninjau di pintu bilik saya dan Assila yang cukup-cukup untuk kami dua orang. Bantal pun sudah berbau busuk. Itu sahaja bantal yang boleh nenek Jarah berikan untuk kami. Bantal lain yang baik-baik dikhaskan buat anak-anaknya yang kelak balik bercuti di rumah besarnya ini. Saya tidak iri hati.
         “Sudah nek, baru saja saya sampai,” kata saya perlahan. Buku di tangan saya lepaskan. Saya menumpukan perhatian kepada nenek Jarah. Kalau tidak, nenek Jarah pasti akan memarahi saya lagi.
         “Kau tak mahu makan Orah? Tu nasi di periuk sudah menunggu! Dah badan kau tu kecut, makanan pula susah nak masuk ke perut! Apalah nak jadi dengan kau ni Orah!”  nenek Jarah mula membebel sambil menjuihkan mulutnya ke dapur. Mata saya terkebil-kebil melihat nenek Jarah yang suka memaksa. Agak-agaknya lah kalau saya sudah dapat menggali apa yang saya nak cari sekarang, pasti saya akan hidup aman di sana. Tidak orang yang memaksa-maksa saya di sana. Kata hati saya sendiri.
         “Nanti lah nek! Saya ada kerja sikit ni,” kata saya lagi. Saya menjadi lemah kalau nenek Jarah sudah menyebut makan. Saya tidak suka makan kalau saya ada kerja. Kalau saya terus makan ke dapur pula nenek Jarah akan menyangka saya ni kelaparan dan kuat makan. Eh, saya pun menjadi serba salah.
         “Jadi tak kita pergi hospital ni? Asma kau datang lagi di sekolah tadi Orah?” soal nenek Jarah memperlahankan suaranya. Saya menggeleng.
         “Tak payahlah nek. Kasihan pula nenek nak kena temankan Orah ke hospital. Orah makan aje ubat yang perlu!” kata saya sudah memberi alasan. Buku Penerokaan Ke Angkasa itu harus saya habiskan. Jiwa saya seakan-akan tertekan dan tidak tenteram kalau saya tidak menghabiskan membaca buku itu. Saya tidak akan dapat tidur lena kalau sesebuah buku yang menarik tidak dapat saya habiskan. Kecuali kalau badan saya penat kerana aktiviti di sekolah.
‘His, nenek Jarah ni memang suka menggganggu!’ kata saya dalam hati.
         “Kalau macam tu nenek nak pergi ke kebun getah ni. Nak tengok kebun tu. Pekerja tu sudah tebas semak-semak tu atau belum! Susah betul pekerja tu, malas-malas semuanya!” bebel  nenek Jarah. Saya segera menganguk. Kalau nenek Jarah cepat-cepat pergi ke kebun getahnya, maknanya hanya ada saya dan Assila sahaja di rumah. Oh, amannya dunia ini! Bisik saya lagi. Dalam hati saya sudah melompat-lompat kegembiraan!
         “Baiklah nek. Nanti Orah akan tutup pintu dan tingkap siap-siap! Saya takkan benarkan orang luar masuk ke rumah nenek ni!” kata saya bergegas menuju ke tingkap dan menutup tingkap-tingkap di kawasan luar.
         “His, kau buat apa tu Orah? Nenek belum nak jalan lagi lah! Nenek tunggu pak cik kau datang! Barulah nenek jalan pegi kebun tu!” saya berhenti menutup tingkap itu. Wajah nenek Jarah saya tatap. Nenek Jarah mengetap bibir nipisnya. Saya terhenti melakukan kerja saya. Uh, saya sudah silap sebenarnya! Malunya!
         “Oh ingatkan nenek nak jalan sekarang, maafkan saya nek.” kata saya perlahan. Saya berpaling dan terus menuju ke bilik sempit saya semula.
Buku cereka sains yang lepaskan tadi, saya ambil semula. Saya labuhkan punggung saya di atas tikar mengkuang lusuh milik nenek Jarah. Pandangan tajam menikam nenek Jarah kembali menyorot ke arah saya. Saya geram dengan sikapnya yang tidak mahu berlalu dari bilik saya sebenarnya. Kalau saya hendak cakap geram pun boleh tetapi saya tidak sampai hati. Biarlah hati saya sahaja yang tahu.
“Jangan lupa makan kalau nenek sudah pergi nanti ya,” pesan nenek Jarah semula. Dalam diam saya hanya mengangguk.
“Ya lah nek. Saya tak akan lupa.” Kata saya  pula mula berjanji. Entah saya hendak makan atau tidak, saya pun belum membuat keputusan lagi. Ini disebabkan Mak Biah memberikan saya sebungkus nasi goring sewaktu saya hendak balik tadi. Nasi goren itu sudah saya balun sampai habis. Hmm, perut saya pun sudah kenyang sampai petang. Bagaimana saya hendak berterus-terang dengan nenek Jarah?
“Kalau kau tak makan, pasti nenek akan tahu juga,” kata nenek Jarah semula. Saya mula menggigil dengan ugutan nenek Jarah itu. tetapi, saya memang kenyang dan buku sains fiksyen yang baru saya pinjam itu memang menggoda-goda hati dan akal saya. Bagaimana saya hendak berterus-terang kalau keadaan saya begini?
“Ya nek, saya akan makan nanti,” Lain yang rancang hendak cakap lain pula yang saya keluarkan dari mulut saya ini. Aduh, Orah macam mana ni? Saya  sudah tidak sabar lagi hendak menghabiskan bacaan. Tidak lama kemudian, nenek Jarah sudah bergerak ke ruang tamu. Dia menghidupkan televisyen. Saya terus bergerak menuju ke bilik kecil saya. Tingkap kayu milik bilik saya pun saya buka perlahan-lahan. Berkeriut bunyinya.
Saya terus membaca dan membaca. Saya sudah berbaring di atas tilam yang kecil itu namun tilam itu cukup untuk dirinya. Saya sudah puas hati. Adik Assila tidak kelihatan sejak saya pulang dari sekolah. Entah di manakah adik saya itu. Saya  kurang pasti. Apa yang saya tahu buku penerokaan ke angkasa harus dihabiskan. Esok saya akan memulangkan buku ini dan meminjam buku yang baru. Itulah kebiasaan yang saya gemari saban waktu. Saya sanggup berlama-lama duduk di perpustakaan daripada duduk di dalam rumah yang tidak ada buku. Uh, memang tragis sekali kalau menjadi Orah. Orah yang ulat buku! Orah yang ulat buku!
“Orah! Orah! Mari sini!” Pup buku di tangan saya jatuh tanpa saya sedar. Kelihatan seekor wajah kuda laut putih yang sederhana besarnya di luar tingkap bilik saya. Uh, kenapa kuda putih bersih berada di depan tingkap saya? Bolehkah kuda laut putih itu terbang? Setahu saya kuda laut itu kecil sahaja. Saya teringat suatu hari dulu nenek Jarah pernah menunjukkan gambar kuda laut putih yang sudah mati. Soal saya yang sudah berasa cemas di dalam kesendirian.
“Orah marilah ikut saya!” kata satu suara lagi. Wajah putih bersih kuda itu saya pandang lagi. Mahu ikut ke mana? Soal saya cukup sangsi.
“Kau yang bercakap kuda laut?” soal saya ragu-ragu. Kuda laut? Kuda laut yang kecil di dalam laut itu. tetapi kuda laut yang berada di depan saya ini cukup besar mengalahkan kuda kepang. Kuda laut mempunyai sayap pula. Kuda laut apa ni? Soal saya dalam hati.
Ya Allah, kuda laut datang semata-mata untuk bertemu dengan saya? Orah? Benarkah atau tidak? Saya menggosok-gosok mata seketika. Saya cubit lengan saya yang kurus. Sakit. Saya pandang lagi sekali. Kuda laut berwarna putih itu masih di situ. Kuda laut itu pun masih memandang saya. Kami saling berpandangan rupanya. Uh, ini memang sesuatu yang menakjubkan! Kalau saya ceritakan kepada rakan sekelas saya, esok pagi pasti mereka akan mengatakan yang saya ni sudah gila. Izzah Munira sudah gila! Jangan mereka kata saya gilakan Cikgu Don sudahlah!
Namun, saya sedar peluang kedua tidak selalu datang dalam hidup seseorang. Inilah peluang yang pertama dan terakhir. Kalau saya tidak sambar peluang ini, saya tidak akan bertemu lagi dengan peluang ini! Kata saya masih memandang kuda laut itu dengan penuh semangat.
“Sayalah kuda laut ni. Saya ni memang dari laut. Tak pernah Nampak kuda laut macam saya ni? Kau takut Orah?” soalnya pula. Hee, pandai pula dia bercakap dengan bahasa saya. Kuda laut putih di hadapan saya sekarang ini memang kuda yang menakjubkan. Sungguh menakjubkan!
Memanglah saya takut dan terkejut apabila mendengar binatang bersuara macam manusia. Tidak pernah berlaku kepada orang lain. Namun, saya harus cepat bertindak. Kalau tidak peluang ini akan selamanya berakhir. Dan, akhirnya Orah juga yang akan gigit jari!
“Kau mahu bawa saya ke mana kuda laut putih?” soal saya begitu terburu-buru. Wal hal saya belum mengenali kuda laut itu dengan lebih dalam. Entah kenapa saya menjadi sangat berminat hendak menunggang kuda laut itu.  Tidak ada lagi ketakutan di dalam hati saya apabila saya melihat kejujuran di mata kuda putih itu. Biar apa pun terjadi kuda laut di hadapan saya itu tetap akan menjadi tunggangan saya! Kata saya penuh perhatian. Saya berasa seluruh muka menjadi berseri-seri apabila dapat bercakap-cakap dengan kuda laut itu. Baru sahaja nenek Jarah mengugut saya. Muka saya jadi pucat dan hati sungguh runsing.
Kenapa runsing? Ini kerana, nenek Jarah memaksa saya makan makanan yang sudah disediakan. Saya sudah kenyang kerana makan di kantin pagi tadi. Itu pagi? Petang ni? Huh, saya tidak mahu ingat fasal makan, walaupun saya suka menikmati makanan.
“Saya mahu bawa kau ke mana-mana sahaja yang kau suka Orah,. Saya pun sudah lama minat dengan kau Orah,” katanya sambil mengenyitkan matanya. Aduh, jantung saya usah ditanya bagaimana debarnya. Bagaikan gendang dipalu sekuatnya.
Ah, doa saya bagaikan sudah dimakbulkan Tuhan. Oh, cepatnya doa saya dimakbulkan Tuhan! Baru sahaja beberapa hari ini saya berdoa. Bisik saya dalam hati.
“Kita terbang ke lautan lepas? Bolehkah bawa Orah dengan sayap kau tu?” soal saya. Kuda laut putih dengan mata kuyu itu mengangguk. Saya terbayang rupa kapal titanic yang sudah tenggelam berpuluh tahun lamanya. Saya  terbayang mangkuk terbang, saya terbayangkan rumpai laut dan gunung laut. Ah, banyak sungguh yang terbayang di benak saya seketika itu.
“Boleh, saya boleh bawa ke mana sahaja yang kau suka Orah, usah lah kau bimbang,” kata kuda laut putih itu lagi. Petah sungguh kata-katanya mengalahkan burung murai. Saya tidak terkejut lagi. Lama-lama saya boleh menyeimbangkan degupan jantung saya.
Saya melonjak kegirangan. Buku yang baca entah terbang ke mana saya pun tidak tahu. Saya menukar baju yang paling cantik yang saya ada. Biar kuda itu tahu saya benar-benar bersungguh-sungguh hendak terbang ke lautan lepas. Ah, ini semua gara-gara nenek Jarah yang garang dan Cikgu Don yang sungguh pandai menerangkan mengenai Sains Angkasa dan keadaan di lautan lepas beberapa bulan lalu. Cikgu Don memang hebat. Dalam diam saya memang mengagumi kegigihan Cikgu Don mengajar saya sehingga begitu berminat dengan sains. Apa sahaja tajuk yang dia terangkan saya memang akan dapat memahaminya. Tidak hairan kalau saya paling pandai dalam mata pelajaran sains di kelas saya!
‘Terima kasih Cikgu Don!’ bisik saya seketika sambil memejamkan mata dan membayangkan wajah Cikgu Don yang ceria.
Saya melihat kuda laut mengerdipkan mata ke arahn saya. Saya tersenyum penuh senang hati. Tidak pernah saya seriang ini. Apatah lagi, wajah ibu saya sudah lama tidak saya temui. Tubuh ibu sudah lama tidak dapat saya peluk. Ini kerana ibu terlalu sibuk bekerja. Ibu bekerja siang dan malam. Ibu bekerja dua belas jam sehari. Oh, sungguh kasihan ibu!
Tetapi, kedatangan kuda laut mengubah diri saya. Saya menjadi ceria dan cukup berstamina menghadapi hari-hari saya. Pedulikanlah nenek Jarah. Apa yang penting sepetang ini saya hendak menjelajahi dua  pertiga kawasan bumi yang belum saya jelajahi lagi iaitu lautan lepas. Biarlah nenek Jarah dan Assila pergi ke kebun getah dan saya bergerak ke dunia lautan yang indah itu. wajah lautan lepas terbayang di mata saya. Hati saya sungguh girang sekali. Kegirangan itu usah ditanya bagaimana. Namun, kulit saya yang hitam manis menjadi berseri-seri dan senyuman melekat ke mana sahaja saya memandang. Itulah Orah yang punya impian luar biasa!


No comments:

Post a Comment