Monday, November 25, 2013

Novel Remaja: Puteri Sirih Junjungan 1 dan 2

Novel Sastera Rakyat (Remaja)
Puteri Sirih Junjungan
Bab 1
Raja Malikul Megah Mencari Anak
Di dalam sebuah negeri kayangan pada zaman dahulu kala terdapat sebuah kerajaan yang diperintah oleh Raja Malikul Megah. Raja Malikul Megah mempunyai seorang isteri bernama Permaisuri Merak Cahaya. Hendak dikisahkan, Raja Malikul Megah dan isteri baginda Permaisuri Merak Cahaya sudah lama berkahwin. Tetapi malangnya baginda berdua belum dikurniakan cahaya mata. Istana Seri Kayangan kehilangan seri dan diliputi kesunyian. Permaisuri Merak Cahaya pun sudah lama menginginkan mendengar suara kanak-kanak di istana itu. Kuasa Tuhan tidak ada sesiapa yang tahu.
         Telah bermacam-macam usaha yang dilakukan. Malah berganti-ganti dukun yang keluar masuk dari kawasan Istana Seri Kayangan itu untuk memberi penawar atau ubat yang mujarab. Namun, Permaisuri Merak Cahaya tetap begitu. Tidak ada tanda-tanda baginda akan hamil pada bulan berikutnya. Usaha dukun-dukun yang dipanggil tetap sia-sia.
         Pada suatu hari, Permaisuri Merak Cahaya telah bermimpi. Mimpi baginda itu sangat aneh sekali. Beberapa hari Permaisuri Merak Cahaya mendiamkan dirinya. Baginda ingin mentafsir sendiri apakah alamat daripada mimpi tersebut. Namun, permaisuri tidak berjaya hendak mentafsirkannya. Akhirnya, baginda pun memberitahu mimpinya itu kepada Raja Malikul Megah.
Dalam mimpinya itu baginda permaisuri bertemu dengan seorang tua. Orang tua itu meminta suaminya pergi memancing di sebuah tasik tidak jauh dari istana. Hanya selang sebuah bukit sahaja. Orang tua itu juga meminta memancing sehingga dapat menaikkan seekor ikan. Ikan tersebut hendaklah dibawa balik ke istana dan hendaklah melakukan apa yang disuruh. Ikan yang ditunjukkan itu sangatlah pelik dan belum pernah ditemui di mana-mana di kayangan itu. Akhirnya permaisuri pun terbangun. Mimpinya itu benar-benar pelik.
Raja Malikul Megah pun melakukan seperti apa yang telah diberitahu permaisuri di dalam mimpinya itu. Walaupun pelik namun Raja Malikul Megah yakin yang mimpi itu mempunyai kebenarannya.
Secara kebetulan pula Raja Malikul Megah sangat suka memancing. Walaupun Permaisuri Merak Cahaya berat hati hendak membenarkan suaminya pergi memancing, namun Rajaj Malikul Megah sudah bersedia hendak melakukannya.
Maka, pada keesokan paginya dengan cuaca yang baik, Raja Malikul Megah yang sudah memakai pakaian seperti seorang nelayan, telah pun turun ke tasik itu dengan seorang pengawal yang sangat dipercayai. Permaisuri Merak Cahaya melepaskan suaminya dengan berat hati.
Orang yang biasa memancing di tasik memberitahu di tasik itu tidak mempunyai ikan. Sia-sia sahaja usaha nelayan yang hendak memancing di tasik itu. Raja Malikul Megah tidak peduli. Baginda harus akur dengan mimpi permaisurinya.
Raja Malikul Megah terus melabuhkan pancingnya apabila sahaja baginda sampai di tasik itu. Baginda terus duduk di situ. Namun sudah berjam-jam baginda melabuhkan mata pancingnya tetapi tidak seekor pun ikan yang mengena di mata pancingnya itu. Namun Rajaj Malikul Megah tidak berputus asa.
Apabila hari sudah semakin senja, barulah baginda mendapat seekor ikan. Namun ikan itu teramatlah ganjil rupanya. Rupa ikan itu sangat hodoh dan muncungnya agak bulat. Kulitnya berwarna putih berbintik-bintik hitam. Pasti bukan ini ikan yang hendak dicari. Raja Malikul Megah agak hairan dengan ikan itu. Baginda pun membuang semula ikan ke tasik tanpa membuang masa.
“Tuanku, ikan itu jangan dibuang. Mungkin itu sahaja rezeki kita kita pada hari ini,” kata pengawal baginda.” Raja Malikul Megah tidak mempedulikan kata-kata pengawalnya itu.
“Ikan itu ganjil sahaja rupanya, mana boleh kita makan!” kata Raja Malikul Megah. Pengawalnya akur dengan kata-kata Raja Malikul Megah.
Tidak lama kemudian, pancing Raja Malikul Megah ditarik lagi. Baginda pun mengangkat ikan tersebut. Ikan yang sama juga juga diangkatnya. Sekali lagi Raja Malikul Megah terus membuang ikan tersebut ke tasik itu.
“Jangan dibuang ikan itu tuanku, ikan itu ikan  buntal!” kata pengawalnya sekali lagi. Pengawalnya pun sudah gelisah dengan perbuatan Raja Malikul Megah.
“Tunggulah kali ketiga ini. Beta pun tidak mahu membuang masa di sini,” kata Raja Malikul Megah.
Baginda melabuhkan mata pancingnya semula. Baginda berharap agar baginda mendapat ikan yang lebih besar kali ini. Apabila mata pancingnya ditarik, ikan yang sama diperolehinya. Dalam hatinya berkata, patutlah permaisuri berat hati membenarkan baginda keluar memancing pada hari ini. Rupanya hari ini nasib tidak baik. Kata hati Raja Malikul Megah.
Dia mengambil ikan yang sama itu dan dalam masa yang sama baginda hendak membuang semula ikan tersebut. Tetapi belum sempat Raja Malikul Megah membuang ikan tersebut, ikan tersebutlah telah pun berkata.
Bulat mata Raja Malikul Megah dan pengawalnya mendengar ikan buntal itu boleh berkata-kata. Tidak pernah mereka melihat ikan pandai berkata-kata seperti manusia.
“Tolonglah jangan engkau buang aku. Bawalah aku pulang! Jika tidak engkau akan menyesal,” kata ikan buntal itu merayu. Suaranya lemah. Mungkin kerana sudah dua kali dibuang ke tasik itu.
“Apa gunanya aku membawa kau pulang ikan?” soal Raja Malikul Megah dengan marah.
“Dengarlah dengan baik-baik akan pesanan aku ini.” Kata ikan buntal itu. Raja Malikul Megah pun mula mendengar apa yang hendak diperkatakan oleh ikan buntal tersebut.
“Apa yang engkau nak cakap wahai ikan?” Tanya Raja Malikul Megah. Dia menundukkan pandangannya dan merendahkan tubuhnya.
“Begini, apabila engkau sampai di rumah nanti, belahlah perutku ini dan buang segala isi perutku ke dalam timbunan baja. Kemudian kikislah semua sisikku, jangan ada yang tertinggal. Selepas itu keratlah kepalaku dan tanamkan di bawah batu di tepi rumah engkau. Engkau ambil pula bahagian belakangku dan rebuslah ia sehingga masak. Mintalah isterimu yang memakannya. Engkau jangan sekali-kali memakannya. Tidak lama kemudian, isterimu akan mengandung dan melahirkan anak kembar lelaki.” Kata ikan tersebut. Raja Malikul Megah tersenyum mendengar isterinya akan melahirkan anak. Itulah yang selama ini ditunggu-tunggunya.
“Baiklah, kalau begitu.” Kata Raja Malikul Megah yang sudah gembira dengan perkhabaran itu.
“Ada lagi yang ingin kukatakan.” Kata ikan buntal tersebut. Raja Malikul Megah terhenti seketika. Begitu juga dengan pengawalnya.
“Bahagian badanku yang lain ini hendaklah engkau simpan sehingga anakmu itu berusia tujuh tahun. Pada hari jadi anakmu yang ketujuh tahun, potonglah badanku menjadi dua bahagian. Berikan sebahagian perutku ini kepada kuda betinamu dan bahagian kedua kepada burung merpatimu. Kuda betina itu akan mendapat dua ekor anak dan burung merpati juga akan mendapat dua ekor anak. Kesemua binatang itu hendaklah engkau pelihara dengan baik.
Apabila anak-anakmu itu berusia tujuh belas tahun, engkau koreklah bawah batu tempat engkau menyimpan kepalaku itu. Di situ engkau akan dapati tulang rahangku itu akan bertukar menjadi dua bilah pedang sakti dan tulang telingaku akan bertukar menjadi dua butir cincin sakti dengan permata hijau. Berikanlah kepada kedua-dua anak lelakimu itu nanti. Setiap seorang akan mendapat sebilah pedang, sebutir cincin, seekor kuda dan seekor burung merpati. Sisik ikan pula akan bertukar menjadi wang syiling emas yang akan mereka gunakan semasa mereka dalam pengembaraan kelak. Wang syiling emas itu hendaklah engkau bahagikan sama rata kepada mereka berdua.” Kata ikan buntal itu. Matanya sudah kuyu memandang Raja Malikul Megah. Namun ikan buntal itu belum habis bercakap lagi.
“Pedang itu dapat membunuh apa sahaja dan parang pula dapat menunjukkan tanda bahaya yang akan menimpa salah seorang dari mereka. Jikalau ada bahaya yang menimpa mereka, cincin itu akan bertukar warna secara tiba-tiba. Mulai hari ini pemerintahan engkau juga akan menjadi aman damai dan hilang seteru. Jadi, ingatlah apa yang kukatakan tadi. Jika engkau tidak ingat, bahaya akan mendatangi hidup engkau suami isteri,” kata ikan buntal itu.
Setelah menghabiskan kata-katanya, ikan buntal itu pun mati. Raja Malikul Malik segera mengambil kudanya dan membawa ikan buntal itu di dalam bakulnya. Kemudian, bagindapun bergerak dengan pantas menuju ke istana. Pengawalnya mengawal rapat di belakangnya.








Bab 2
         “Adinda permaisuri! Adinda permaisuri! Cepat!” Raja Malikul Megah bergegas memanggil isterinya apabila baginda sudah sampai di depan istana. Baginda ingin segera mengkhabarkan kepada isterinya akan berita yang baru dibawanya. Pada hari itu, senja sudah bertukar menjadi malam.
         “Ada apa kanda?” soal Permaisuri Merak Cahaya yang berasa bimbang dengan pemergian suaminya berdasarkan mimpinya itu.
         “Lihat, kanda bawa ikan ini untuk adinda. Mimpi adinda permaisuri memang benar sekali,” kata Raja Malikul Megah.
         “Oh syukurlah kanda. Tidak disangka mimpi itu benar. Tidak sia-sialah kanda pergi ke tasik itu. Dinda sungguh bimbang kanda!” kata Permaisuri Merak Cahaya kepada suaminya. Pengawal mereka hanya memerhatikan sahaja. Begitu juga dengan inang-inang istana yang lain.
         “Nah, inilah ikannya. Ikan ini sungguh ajaib dinda. Adinda hendak lah memotong sendiri ikan ini. Besar hikmahnya,” kata Raja Malikul Megah dengan rendah diri.
         “Baiklah kanda. Kanda akan melakukan apa yang kanda arahkan,” kata Permaisuri Merak Cahaya.
         “Dinda, bukan kanda yang arahkan, tapi ikan ini yang bercakap dan mengarahkan apa yang akan kita buat seterusnya.” Kata Raja Malikul Megah. Permaisuri pun memahami. Baginda permaisuri terus sahaja ke dapur dan memotong ikan buntal itu.
Apabila sampai di dapur, baginda menyuruh isterinya permaisuri Merak Cahaya membuat seperti apa yang telah disuruh oleh ikan buntal itu.
Tidak lama kemudian, Permaisuri Merak Cahaya pun mengandunglah selama sembilan bulan Sembilan hari. Setelah itu baginda permaisuri pun melahirkan anak kembar lelaki. Kedua-dua lelaki. Mereka diberikan nama Putera Malikul Indera dan Putera Malikul Alam. Mereka membesar dengan sebaya, sama kacak dan sama-sama bijak. Mereka sentiasa bersama-sama di mana-mana sahaja. Belajar dan bermain. Mereka tidak pernah bertengkar ataupun mengeluarkan kata-kata yang boleh menyakitkan sesama mereka.
Pada hari jadi mereka yang ketujuh, ayahanda mereka Raja Malikul Megah pun teringatkan pesanan ikan buntal tersebut. Baginda pun mengambil ikan yang sudah lama tersimpan di dalam air garam itu. Lalu baginda memotong menjadi dua bahagian. Bahagian perut diberikan kepada kuda betina dan bahagian yang satu lagi diberikan kepada burung merpati. Beberapa bulan kemudian, kuda betina itu pun beranaklah. Anak kuda itu sebanyak dua ekor. Kedua-duanya comel-comel belaka. Burung merpati juga mendapat dua ekor anak. Kedua-dua anaknya burung mempunyai warna yang serupa dan sebaya.
“Wah bertuahnya kita ayahanda, dikurniakan binatang-binatang yang comel ini, patik sungguh suka sekali,” kata Putera Malikul Indera berasa seronok sekali melihat anak-anak kuda yang comel-comel sekali.
“Ya, patik pun suka ayahanda. Ayahanda memang bijak sekali.” Kata Putera Malikul Alam pula. Raja Malikul Megah tidak berkata apa-apa. Baginda hanya terkenangkan ikan buntal yang dipancingnya dahulu.
“Anakanda berdua, burung merpati dan kuda-kuda ini adalah hadiah ayahanda untuk kedua-dua anakanda,” Raja Malikul Megah berkata kepada kedua-dua anakandanya.
“Oh seronoknya ayahanda. Kalau kuda-kuda ini sudah besar, bolehlah anakanda belajar menunggang kuda pula ya.” Kata Putera Malikul Alam pula.
“Oh sudah tentu lah! Ayahanda akan mengajar kamu berdua nanti.” Kata Raja Malikul Megah. Kedua-dua putera itu bertambah gembira. Namun Raja Malikul Megah tetap pula berasa sedih kerana kedua-dua anakandanya itu akan pergi ke alam lain suatu hari nanti. Itulah yang menyedihkannya selalu.
         “Kenapa ayahanda Nampak sedih?” soal Putera Malikul Indera memerhatikan ayahandanya yang kelihatan sugul itu.

         “Tak ada apa-apa anakanda, kalian sudah semakin membesar. Ayahanda selalu berdoa agar anakanda akan hidup bahagia nanti,” kata Raja Malikul Megah menutup rasa sedihnya. 

No comments:

Post a Comment