Wednesday, June 4, 2014

Novel Kanak-Kanak: Orah 5

Bab 5


Saya sudah tidak senang duduk. Kuda laut entah di mana. Baju gaun putih yang paling cantik yang saya ada, entah di mana saya letakkan. Nenek Jarah sudah memasuki bilik saya. Dia mengemaskan semula pakaian saya. Entah kenapa dia begitu baik pada petang itu.
         “Neeekk… pak cik sudah datang! Pak cik Medar datang neek! Keretanya besar nek! Kereta baru nek! Saya nak ikut…saya nak ikut!” Assila tercungap-cungap berdiri di pintu bilik. Nenek Jarah pula sudah tercegat di hadapan bilik saya. Wajahnya yang masam tadi sudah bertukar ceria. Wajahnya bertukar dengan sekelip mata.
         “Ha pak cik kau sudah sampai?” soalnya pula. Rambutnya yang secekak itu sudah diikatnya tinggi-tinggi. Saya mula menarik nafas lega. Lega sangat. Tadi bukan main lagi saya sangat tertekan dengan sikapnya yang menyelongkar almari kain saya yang kecil itu. Entah apa yang sedang dicarinya. Mungkin telinga tuanya mendengar saya sedang bercakap-cakap dengan kuda laut yang agak besar itu.
         “Mak, assalamualaikum mak!” pak cik Medar sudah naik ke rumah dan menyalami tangan nenek Jarah. Nenek Jarah tersenyum sampai ke telinga.
         “Baru kau sampai? Kenapa kau lambat?” Pak cik Medar hanya mengangguk. Nenek Jarah bertanya mengalahkan polis. Pak cik Medar yang kelihatan tenang itu tersenyum. Dia berhenti di hadapan bilik saya. Wajah pak cik Medar saya renung.
         “Ni ada saya bawakan sayur dan buah-buahan untuk budak-budak ni mak!” Pak cik Medar memang menyayangi saya dan adik Assila. Namun nenek Jarah tidak pernah mahu peduli hal itu. Kadang-kadang dia menghasut Pak cik Medar agar dia tidak membelikan apa-apa makanan untuk saya dan adik. Pak cik Medar tidak pernah termakan hasutan nenek Jarah, ibunya yang agak licik itu.
         “Buat apa kau bagi diorang ni! Bukan pandai nak berterima kasih! Mak dia pun tak pernah nampak batang hidungnya! Entah hidup atau mati di bandar tu!” sempat nenek Jarah menyebut mengenai ibu saya. Saya tidak dapat berbuat apa-apa. Memang sejak beberapa bulan ini ibu tidak ada memberikan khabar berita buat kami. Apatah lagi hendak mengirim wang perbelanjaan dan barang-barang makanan. Mungkin ibu sibuk sangat di tempat kerjanya. Entahlah! Saya pun risau akan kesenyapan suara ibu di Bandar sana. Kalaulah ibu memahami saya.
         “Marilah mak kita pergi ke kebun tu! Kalau lagi lambat, hari dah nak petang! Nanti malam saya nak balik mak,” kata pak cik Medar yang telah menyelamatkan keadaan. Saya sebenarnya sudah beberapa minit berasa gembira. Gembira dalam senyap.
         “Orah! Kau dengar sini! Aku tak mahu kau pergi mana-mana! Jangan kau pandai-pandai nak pergi rumah kawan. Kalau kau pegi mana-mana awas kau nanti kalau kau balik ya!” kata nenek Jarah mengeluarkan waran amarannya. Saya hanya mengangguk. Dalam hati saya masih menyimpan angan-angan lagi. Wajah kuda laut putih yang sedang menunggu saya, menari-nari di ruangan mata. Hati saya berbunga lagi.
         “Orah nak ke mana lagi ni? Orah nak ikut pak cik ya?” soal Pak cik Medar dan mengelus-elus rambut halus saya. Saya menggeleng.
         “Tak nak ikutlah pak cik. Orah nak buat kerja rumah. Kerja rumah saya belum siap lagi,” jawab saya separuh hati. Saya terharu dengan sikap kasih sayang pak cik Medar. Dia memang selalu berlemah lembut dengan saya. Hmm, kalau lah ada seorang lelaki bernama ayah dalam hidup saya, tentulah ibu tidak akan pergi bekerja di bandar sana. Nasib saya tidak baik. Ayah sudah pergi meninggalkan kami entah ke mana. Jadilah saya anak yatim yang bukan yatim sebenarnya. Air mata saya tiba-tiba menitis setitis demi setitis. Setelah itu saya sedari pak cik Medar sudah berhenti mengelus-elus rambut saya. Dia sudah pergi bersama nenek Jarah dan Assila.

         “Bye pak cik! Bye Sila!” kata saya dari tingkap rumah. Entah mereka akan lama di kebun itu ataupun tidak. Namun biasanya mereka akan berada di sana dalam setengah jam. Jadi dapatlah saya melakukan perkara yang cukup saya sukai. Termenung dan melayang-layangkan fikiran!

No comments:

Post a Comment